Anak Terpinggir: Setahun Selepas Graduasi

Share this post on:

Oleh: Mukmin Nantang

Terlalu cepat masa menginjak aku, tak terbayang langkah demi langkah sekarang aku berpijak di tahun 2020. Teringat ketika benar-benar aku ambil keputusan untuk mendekati anak terpinggir di jalanan Bandar Tawau pada tahun 2015. Anak-anak yang meminta sedekah, menjual kacang goreng dan kuaci ditepi-tepi pintu bank dari pukul enam petang hingga enam pagi. Titisan air mata 2015 menanam benih perjuangan untuk membebaskan anak-anak ini sehingga sekarang.

Cita-cita menjadi guru dan jurulatih sukan berkali-kali sekadar mimpi siang hari. Keputusan SPM menggagalkan aku untuk masuk ke Intitusi Pendidikan Guru (IPG) dan keputusan STPM tidak mampu menempatkan aku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Pendidikan Jasmani atau pun Sains Sukan. Tercampaklah aku di fakulti seni dalam bidang teater di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hujung tahun 2014. Seperti mengikut saja angin kehidupan dan tidak mampu terbayang akan jadi apa selepas tamat pengajian.

Selama di universiti aku dan teman-teman mahasiswa giat membangun projek pendidikan anak-anak terpinggir di Sabah. Menjadilah aku ‘guru haram’, guru yang tidak diiktiraf oleh pemerintah. Hujung minggu dan cuti semester menghabiskan masa untuk memberi pendidikan di jalanan dan di kampung-kampung tidaklah mampu membangun banyak hal. Tahun 2018, selepas tamat pengajian di universiti, aku ambil keputusan untuk duduk mengabdikan diri dalam kampung, menyewa rumah dan tinggal bersama komuniti terpinggir di Semporna, Sabah. Ruang rumah dibahagi kepada tempat tidur dan kelas.

Dengan falasah hidup– ‘aku benih yang subur, campak mana pun aku tumbuh’.

Oh terlalu pantas masa bergerak, setahun sudah berlalu kohort pertama anak-anak Sekolah Alternatif Semporna bergraduasi. Bukan sekadar pandai menulis, baca dan kira, sebahagian daripada mereka juga mahir dalam menjahit, memasak, mencetak baju, bermain muzik dan menjadi guru. Dari titisan air mata 2015 membawa kepada titisan air mata ibu bapa dan pelajar. Teringat minggu-minggu terakhir sebelum majlis graduasi. Kami berkumpul sekelas, saling mengamati bola mata masing-masing. Persoalan muncul.

“Cikgu lepas ni kami ndak boleh sudah sekolah? Bolehkah kami tetap datang sekolah bantu cikgu bangunkan sekolah ni?”

11 murid kohort pertama yang dulunya polos. Sabrin dan Suraida kini membangun produk jahitan tote bag di dalam BK KRAF. Walau mereka tidak boleh keluar dari daerahnya tapi hasil tangan mereka sudah di bawa ke luar negara. Titisan keringat yang melekat di kain-kain tote bag jahitan mereka telah terbebaskan walau sosoknya masih terperangkap di daerah kelahiranya sendiri.

Suraida dan Sabrin

Suhaima dan Jai sudah pun menjadi Cikgu Suhaima dan Cikgu Jai di Sekolah Alternatif Semporna. Kembali menyulam rasa dan berusaha membantu anak-anak kecil dan teman-teman agar pandai baca, tulis dan kira. Halid dan Anuar sedang giat berlatih mengasah bakat dalam bermain muzik gitar dan ukelele dengan harapan boleh membuat kumpulan akustik dengan mengeluarkan lagu sendiri menceritakan tentang hidup yang perit. Manakala Azmi dan Omar selain belajar meningkatkan kualiti mencetak baju, mereka juga banyak membantu cikgu-cikgu menguruskan sekolah setiap hari. Dan mereka semualah dari awal pagi membancuh air untuk semua pelajar, memasak, mengemas sekolah, memberi ubat gigi dan banyak lagi.

Cikgu Suhaimah (tudung coklat) dan Cikgu Jaidi (baju biru) bersama-sama dengan guru Sekolah Alternatif lain ketika mesyuarat bulanan guru baru-baru ini.

 

Membangun kemahiran dengan muzik.

Selain dari itu, ada juga kisah yang berlainan kerana tidak dapat kembali ke sekolah setiap hari. Sakinah harus membantu ibunya dari pagi hingga malam berniaga di depan rumah. Sesekali aku datang melawat dan bertanya khabar. Dengan senyum riang dia menjawab.

“Ok sak bah cikgu”.

Membantu memasak makanan pagi untuk rakan-rakan sekolah lain.

Julita dan Jesika terpaksa mengikut bapanya ke darat untuk membangunkan kebun ubi.

“Kami bantu bapak tanam ubi, cabut ubi, kupas kulit ubi, parut ubi dan buatkan air panas bapakku”.

Sesekali Sakinah, Jesika dan Julita datang ke sekolah bertemu dengan kawan-kawan dan guru. Mereka yang masih mahu bersekolah tapi tetap gembira dapat membantu keluarga menyara hidup.

11 orang anak yang belum mampu menceritakan ratusan lagi kanak-kanak di luar sana menjalani hidup tanpa pendidikan. Aku tidak tahu sampai bila akan bertahan dan sentiasa berdoa semakin ramai-ramai menghulur tangan memberi pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *