Oleh: Nurhuda Manshoor
Apabila kita menyebut sahaja ‘kerja amal’, ‘khidmat masyarakat’ dan sebagainya, terbayang di mata bagaimana orang tidak bernasib baik dibantu dan disantuni oleh orang baik-baik, yang prihatin, yang ikhlas, yang tidak mengharapkan apa-apa balasan. Kita mengharapkan yang dibantu itu bertambah baiklah kehidupan mereka, keluarlah mereka dari kesusahan dan kesempitan, bergembiralah mereka di dalam dunia ini. Kita juga mendoakan orang baik-baik yang memberi itu semoga bertambahlah rezeki dan kekayaan, supaya mereka terus membantu dan menyumbang. Kalaulah dunia ini seindah itu.
“Jadi, apa masalahnya? Dengan kebaikan yang mereka lakukan, mereka layak diangkat, disanjung tinggi. Apa alasan kita untuk tidak bersama-sama mereka menyokong usaha murni ini? Mereka melakukan dengan ikhlas, tidak mengharap balasan, tidak mendapat keuntungan”.
Di dalam dunia kapitalis ini, tiada apa yang dihasilkan/dibuat yang tidak boleh membawa keuntungan. Segalanya boleh dikomoditikan, daripada barangan produksi sehinggalah kepada buruh upahan. Malah kini ia menular kepada perkara-perkara bukan fizikal seperti kasih sayang dan belas kasihan. Ini kerana kerja kebajikan, aktiviti khidmat masyarakat dan altruisme juga boleh mendatangkan keuntungan. Hari ini, amalan ini berkembang menjadi satu industri di mana kemiskinan dan aktiviti yang berkaitan dengannya adalah komoditi. Industri ini memerlukan kemiskinan, penindasan dan penyakit yang berterusan untuk mewujudkan rantaian bekalan ‘supply chain’ kepada aktiviti kebajikan komoditi.
Tindakan mengkomoditikan belas kasihan ini umpama jarum-jarum halus yang tidak kelihatan menyusup masuk ke ruang-ruang gelap kemiskinan dan kesakitan, mengait keluar kepentingan yang memberi keuntungan kepada industri. Saya menyorot ke dalam ‘nutshell’ kita sahaja, dunia kecil di sekeliling kita, kepada perkara-perkara yang bersentuhan dengan kita. Tentang bagaimana orang-orang miskin, sakit dan kurang bernasib baik ditunggang untuk keuntungan dan kepentingan korporasi dan juga individu.
Di dalam kempen-kempen kesedaran melalui penjualan produk berjenama, produk di label/dicetak dengan slogan kempen tersebut. Produk ini dibeli dan dipakai/dipamerkan oleh pengguna kepada pengguna lain, sebagai tanda sokongan kepada kerja amal tersebut. Ini memberikan pemasaran percuma kepada syarikat pengeluar. Kerja amal ini sebenarnya lebih terarah kepada meningkatkan penjualan produk.
“Tapi kempen itu akan memberi kesedaran kepada masyarakat, maka ramailah yang akan membantu”. Begitulah aktiviti pengkomoditian ini dijalankan. Masyarakat konsumer dipancing untuk membeli barangan mereka, merancakkan jualan mereka dengan alasan memberi kesedaran kepada isu yang memerlukan perhatian. Ini mungkin boleh diterima jika semua keuntungan dari produk pergi ke badan amal, malangnya ia tidak begitu. Mereka tidak mengeluarkan belanja, malah mendapat keuntungan. Akhirnya orang ramai juga yang diseru untuk bertindak ke atas isu tersebut.
Syarikat-syarikat besar menaja program kemanusiaan di TV. Mereka membayar sejumlah wang kepada stesen TV untuk membuat penggambaran dan menyiarkan program di TV. Di dalam program tersebut pengacara akan berusaha membuat peserta menceritakan kisah sedih sambil menangis. Wakil syarikat pun datanglah membawa kampit beras, hamper, bersalaman dengan peserta dan menyuakan sampul. Selebihnya mempromosi produk mereka.
“Apa salahnya jika ia boleh mengumpulkan duit untuk si miskin?” Pengkomoditian kisah sedih dan sayu ini jauh menguntungkan pihak pengkomoditi daripada golongan yang disasarkan. Penonton teruja dengan kebaikan pemilik syarikat dan berlumba-lumba memberi sokongan dengan membeli produk mereka. Mereka menyangka apabila syarikat membuat keuntungan, maka semakin banyaklah sumbangan yang akan diberikan. Padahal sumbangan kepada program tersebut datangnya dari orang ramai yang menderma melalui stesen TV. Dan mereka bukan orang kaya pun.
“Dengan pembelian produk-tidak-perlu ini, 5 sen akan disumbangkan kepada badan kebajikan itu-ini”. Kempen pemasaran jenis ini popular dan mudah membeli hati pengguna. Ia mengurangkan rasa bersalah pengguna yang membeli barang tidak berfaedah, malah rasa berpuas hati kerana dapat menderma sambil membeli. Jadi boleh membeli dengan kuantiti yang banyak, jualan melambung tinggi, syarikat meningkatkan produksi, mengeluarkan lebih banyak produk, mengaut lebih banyak keuntungan. Orang yang dibantu? Dapatlah sekelumit dari sumbangan tersebut setelah ditolak kos operasi. Adalah lebih mudah dan berkesan apabila wang yang digunakan untuk membeli produk tersebut diberikan terus kepada penerima.
Kita beralih daripada tabiat berbelanja ini. Tanpa perlu syarikat besar, tanpa perlu berbelanja membeli produk, aktiviti kebajikan masih boleh dikomoditikan. Contoh paling klasik ialah rombongan Cik Kiah ke rumah-rumah penjagaan orang tua, anak yatim, OKU dan sebagainya. Lawatan sehari dilakukan dengan persediaan awal yang panjang, penuh protokol dan belanja yang banyak. Menjemput VIP untuk merasmikan, wartawan membuat liputan, menjamu tetamu makan, menghias pentas sudah menghabiskan sekian banyak belanja. Perbelanjaan ini akan lebih baik digunakan sebagai sumbangan secara langsung kepada rumah penjagaan tersebut.
Anak yatim pula berhari-hari kena berlatih bernasyid untuk dipersembahkan kepada tetamu. Setelah bermesra dengan penghuni rumah penjagaan, berswafoto, bergambar beramai-ramai, pulanglah para pemurah hati. Selesailah aktiviti kemasyarakatan syarikat mereka pada tahun tersebut, yang memberi imej baik kepada syarikat, yang kosnya dikecualikan dari cukai kerajaan. Tinggallah penghuni di rumah penjagaan dibekalkan sekeping sampul, kalau ada.
Aktiviti ini memberi rasa kepuasan ‘feel good’ kepada pelawat tetapi tidak semestinya memberi manfaat yang berguna kepada penerima. Senario ini juga boleh membawa kepada penyalahgunaan rumah anak yatim untuk keuntungan. Saya belum lagi hendak ke situ. Sebelum melawat rumah-rumah penjagaan ini, perlu dipertimbangkan, itu bukan tempat percutian dan anak-anak itu bukan produk pelancongan.
Tidak terkecuali juga mengkomoditikan charity untuk keuntungan bukan-fizikal, untuk mengangkat diri sendiri di mata masyarakat. Ini tidak susah, tidak perlu berbelanja banyak. Update sahaja status sedih di Facebook, menulis tentang kemiskinan dan kesusahan. Ambil sahaja gambar dari FB orang lain, atau keluar meronda di malam hari mengambil gambar gelandangan. Mendapat puji-pujian dari pengikut, self-esteem meningkat, nama diangkat dijulang, silap-silap boleh buka akaun untuk sumbangan derma.
Komoditi ini juga, ada kalanya tidak mendapat pulangan keuntungan segera, namun boleh digunakan sebagai tukaran untuk kehidupan yang lebih baik di hari kemudian. Apabila diberitahu tentang kesusahan dan kesulitan si polan dan si polan, maka bersedihlah hati-hati itu dan berharaplah semoga segalanya akan dipermudahkan. Perkara ini di cakap-cakapkan dengan nada sedih, penuh simpati dan belas kasihan serta memanjatkan doa kerana doa orang-orang yang tertindas pasti dimakbulkan. Perkara ini amatlah baik, mendapat pahala dek kerana halus-mulusnya hati dan perasaan, serta ikhlas mendoakan kepada yang memerlukan. Namun realiti adalah sesuatu yang nyata, niat yang baik sahaja tidak cukup untuk hasil yang baik. Lagipun, kebajikan ini untuk siapa? Untuk mereka atau kita?