Oleh: Dr Fatimah Salim
Baru-baru tular mengenai sifat arang aktif yang boleh memutihkan gigi. Namun, arang yang dimaksudkan di sini bukanlah arang yang digunakan untuk membuat bara api BBQ tapi zat arang yang dihasilkan dari bahan-bahan semula jadi yang telah melalui proses pengaktifan.
Ramai yang menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan arang aktif sebagai bahan pemutih gigi yang mana boleh menghakis enamel. Sebelum kita membuat sebarang andaian, mari kita kenali dahulu apa itu arang aktif, sifatnya dan mekanisme pemutihan gigi olehnya.
Apa itu arang aktif?
Arang aktif terhasil dari pelbagai bahan kaya karbon termasuk bambu, tempurung kelapa tua, kayu dan lain-lain. Bahan-bahan kaya karbon ini kemudiannya melalui proses pengaktifan (sama ada secara fizikal atau kimia) untuk menambah bilangan pori, seterusnya jika perlu modifikasi struktur untuk meningkatkan kepelbagaian serapan. Pertambahan bilangan pori akan meningkatkan luas permukaan arang aktif. Mekanisme tindakan arang aktif terhadap molekul luar adalah dengan proses serapan permukaan (adsorption) melalui ikatan relatif lemah yang dipanggil daya Van Der Waals. Kekuatan ikatan ini bergantung kepada struktur pori, kumpulan berfungsi dan kedudukan kumpulan berfungsi pada arang aktif ini. Melihat fizikal arang aktif, semakin halus strukturnya, semakin tinggi daya upaya serapannya.
Biasanya arang aktif ini tersedia dalam bentuk pil atau serbuk. Sejarah penggunaan arang aktif yang popular adalah pada tahun 1834 di mana ahli fizik Amerika menggunakan arang aktif untuk menyelamatkan nyawa seorang pesakit yang tertelan bahan racun mercury chloride. Sejak itu banyak kajian telah dibuat tentang keselamatan penggunaan arang aktif dalam perubatan moden.
Bolehkah arang aktif memutihkan gigi?
Boleh. Walaupun tidak ada kajian saintifik berkenaan arang aktif sebagai pemutih gigi, namun melihat sifat fizikal serapan permukaannya (adsorption), ianya mampu menyerap noda kotoran (stains) pada gigi yang disebabkan pengambilan kopi, teh, rokok dan sebagainya, yang seterusnya mampu membantu ke arah pemutihan gigi.
Arang aktif sebagai ubat gigi boleh jadi cara terbaik untuk melambatkan proses pelekatan semula noda kotoran pada gigi yang diikuti dengan cucian profesional (scaling). Nilai abrasi (hakisan) arang aktif dalam ubat gigi juga sedikit jika digunakan dengan betul. Banyak jenama gergasi ubat gigi seperti Colgate juga ada mengeluarkan ubat gigi berkonsepkan arang aktif ini. Namun, harus diingat bahawa ubat gigi yang mengandungi arang aktif pastinya tidak mengandungi bahan pelindung gigi utama iaitu fluorida yang mana juga mampu diserap oleh arang aktif. Anda juga haruslah kritikal dengan bahan kandungan lain dalam ubat gigi tersebut yang mana mungkin boleh menyumbang kepada hakisan gigi.
Namun, menggosok gigi dengan serbuk arang aktif dengan cara kuat boleh menghasilkan geseran partikel arang dengan gigi yang mana boleh menyebabkan hakisan pada enamel. Harus diingat, lapisan gigi juga tidak sama dengan lapisan kulit wajah yang mana senang menjana semula. Malangnya, lapisan enamel gigi bukanlah tisu hidup dan pastinya tidak boleh menjana semula secara semula jadi.
Gosokkan arang aktif pada gigi juga boleh menjadikan gigi tidak cantik kerana partikel kecil mungkin tersangkut pada celah-celah gigi anda yang boleh menyebabkan pembentukan garisan hitam antara gusi dan gigi, tambahan pula, kesan jangka panjang tidak diketahui. Namun, pastinya memerlukan wang yang banyak untuk rawatan. Maka gunakanlah arang aktif ini dengan bijak dan berpada-pada.
Rujukan:
1) Muthanna, J. Ahmad, Samar, K. Theydan, 2012. Physical and Chemical Characteristics of activated charcoal prepared by pyrolysis of chemically treated date stones and its ability to adsorp organics. Power Technology 229.
2) John, K. Brooks, Mark A. Reynolds, 2017. Charcoal and charcoal-based dentifrices: A literature review. American Dental Association 148.
3) Anna Middleton, 2017. Tooth whitening versus strain removal. British Dental Association.
4) Linda Greenwall, Naim H.F. Wilson, 2017. Charcoal toothpaste: what we know so far. The Pharmaceutical Journal.