Oleh: Achmad Fatkur Raziq

Semua kita mahu hidup yang lebih sempurna, semua orang inginkan hidup yang bahagia, semua orang inginkan kemewahan. Tapi di dunia atas air ini aku banyak melihat bagaimana medan lautan menjadi satu medan pertempuran antara hidup dan mati. Yang kedua adalah makanan dan kehidupan.

Aku mula bergerak dari Kota Marudu ke Semporna lebih kurang 15 jam perjalanan, perjalanan yang sukar buat budak praktikal macam aku di dunia yang lain. Borneo Komrad adalah tempat pertama yang aku kenal, tempat di mana aku mengenal manusia yang memanusiakan manusia. Anjing saja mahu hidup dan terus hidup apa lagi manusia. Di sini titik permulaan aku sebagai anak perantauan.

Ini kali ke-2 aku datang ke Sekolah Alternatif Semporna dan kali ini aku lama sikit di sini, biasalah kan budak praktikal mesti diberikan lebih kurang 3 bulan untuk praktikal. Di sini aku mengenal salah seorang murid yang bernama Sabrin. Umurnya 17 tahun tinggal di Kampung Bangau-bangau. Aku berminat menulis tentang Sabrin salah satu sebabnya adalah kerana latar belakang yang bagi aku sendiri adalah berlainan daripada murid-murid yang lain meski setiap orang itu mempunyai latar belakang yang berbeza.

Dia antara murid Sekolah Alternatif yang paling tua dalam kalangan murid-murid yang lain dan salah seorang daripada 11 orang murid yang sudah bergraduasi. Ayahnya seorang tukang buat rumah, mamaknya pula seorang penjahit di Kampung Bangau-bangau. Dia anak pertama daripada 5 orang adik-beradik tapi kini tinggal mereka 3 orang adik-beradik. Adik ketiga meninggal disebabkan kurang nutrisi dalam badan manakala arwah adik bongsunya meninggal diakibatkan oleh penyakit kulit yang teruk. Masa aku dengar cerita daripada mulutnya sendiri, aku tidak tahu mahu buat apa dengan keadaan yang dihadapi oleh mereka.

Cuba kita bayangkan sendiri, mereka tiada dokumen yang lengkap dan bila mereka perlu ke  hospital, mereka dibagi harga yang sangat mahal untuk mendapatkan ubat. Kebanyakan mereka di sini masih lagi menggunakan perubatan kampung. Semua ini disebabkan oleh taraf ekonomi yang rendah dan pihak kerajaan tidak memberikan fasiliti kesihatan yang baik buat mereka.

Kalau dicakap mereka ini miskin kerana malasnya mereka, aku sendiri nampak bagaimana mereka berniaga secara kecil-kecilan seperti sayur, ikan, ubi, likau (jeruk timun) dan makanan tradisi yang lain. Kita kena lihat kehidupan mereka sendiri dengan cara mendekati golongan ini.

Pada mulanya, aku segan bercerita tentang latar keluarga dengan anak-anak Sekolah Alternatif ini, tetapi mereka sangat ingin bercerita tentang latar belakang mereka – terkadang ada yang ingin menceritakan hal-hal peribadi kepada cikgu-cikgu sekolah. Aku mula dekat dengan anak-anak murid Sekolah Alternatif ini dan cuba mendengar cerita-cerita mereka satu-persatu.

Kebanyakan latar belakang anak-anak di sini adalah berlainan. Mereka tidak seperti anak-anak yang lain diberikan peluang untuk hidup yang lebih senang, di sini mereka terpaksa bekerja untuk mendapatkan duit dan menyara kehidupan. Sabrin pernah bekerja di sebuah restoran di pekan Semporna dan ditawarkan gaji sebanyak RM350 setiap bulan. Ya bagi mereka ini adalah jumlah yang besar tetapi masa kerjanya adalah dari jam 8 pagi sehingga jam 1 atau 3 pagi dan begitu juga hari seterusnya. Bagi aku sendiri ini antara diskriminasi anak-anak sebab diberikan gaji yang sangat rendah dan bekerja lebih daripada 12 jam. Dia selalunya bangun jam 6 pagi untuk teruskan kerjanya. Cuba kita bayangkan seorang budak berumur 17 tahun yang tidurnya lebih kurang 3 atau 4 jam satu hari untuk mendapatkan duit. Mungkin salah satu sebab mereka diberikan gaji rendah adalah disebabkan tiada dokumen dan mereka ini kebanyakannya diberikan gelaran PTI tetapi mereka lahir di sini, membesar di negeri ini. Mereka juga ada hak sama seperti budak-budak lain.  

Sekolah Alternatif ini adalah tempat mereka untuk bermain, memberikan ruang kepada mereka untuk lebih bebas berkarya. Kini Sabrin telah menjadi salah seorang murid kelas Za’ba dan bekerja di Borneo Komrad Semporna. Kini, dia diberikan kebebasan untuk berkarya di sekolah dan menjadikan sekolah tempat yang selamat. Bukan sahaja untuk dia tetapi untuk semua anak-anak Sekolah Alternatif Semporna.  Di dalam kelas, Sabrin seorang yang aktif dan dia serba boleh dengan apa yang sudah dia belajar di kelas. Kemahiran adalah asasnya kejayaan dan kini dia sudah pandai mencetak baju, menjahit, memasak dan membantu guru-guru lain. Segala urusan kebersihan di dalam sekolah, dia yang uruskan bersama dengan anak-anak yang lain.

Sekolah bukan sahaja menjadi tempat yang selamat buat mereka tetapi sekolah juga menjadi tempat mereka dididik dan memberikan kebebasan seperti mana anak-anak lain di luar sana yang bersekolah dan belajar. Bagi aku sendiri, Sabrin antara anak-anak yang berjaya kerana dia sudah menguasai bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga kemahiran. Kini Sabrin telah menjadi salah satu contoh buat anak-anak Sekolah Alternatif dan dia membantu kawan-kawannya dalam belajar atau membuat kemahiran yang lain.

Dalam usia muda ini, dia telah banyak merempuh kehidupan yang pahit. Baru-baru ini aku mendengar cerita dari dia yang dia kena pukul oleh  ayahnya yang sedang mabuk. Ini juga salah satu sebab kenapa anak-anak di sini lebih cepat terpengaruh dengan keadaan persekitarannya terutamanya daripada sifat yang ditonjolkan oleh orang tua terhadap anak mereka. Ramai di antara mereka dalam usia sangat muda mula mencari pekerjaan sehingga ke bandar-bandar besar untuk mendapatkan gaji yang lumayan. Bagi anak perempuan pula, kebanyakan mereka telah berkahwin dalam lingkungan umur 17 tahun. Usia yang sangat muda untuk berumah tangga, tapi bagi mereka sendiri ini adalah persekitaran mereka. Aku yakin dan percaya dengan adanya sekolah, mereka lebih tenang dan berasa mereka juga ada hak seperti anak-anak lain di luar sana untuk membaca buku dan menari dengan senyuman yang lebar.

Tidak ada cinta yang paling besar melainkan berkongsi perasaan itu bersama mereka terutamanya kepada anak-anak tanpa negara ini. Lahir di sini membesar di sini tetapi dianggap sebagai salah seorang daripada penceroboh negeri ini. Hak mereka adalah sama seperti hak kita, cuma mereka kurang bernasib baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *