Oleh: Farahani R

Esei ini khusus buat penulis, dan dilema-dilema yang berterabur di cakerawala akal minda manusia bernama penulis. Tulisan ini sebenarnya adalah tulisan pertama sejak saya dilanda lumpuh tenaga kreatif. Tulisan ini juga terinspirasi daripada pelbagai cerita yang mengetengahkan penulis sebagai persona pertama. Tulisan ini juga timbul (seperti namanya) daripada diari Haruki Murakami; What I talk about When I talk about Running.

Pertama sekali, saya tidak pernah bercadang untuk memakai gelaran ‘penulis’. Mungkin sekali kerana kita pada zaman abad ke-21 tidak begitu memandang penulis sebagai kerja yang mewah. Ia dinampak sebagai kerjaya yang boleh mendatangkan bahagia meskipun di dalam kemiskinan. Penulis juga di pamer di dalam minda rakyat sebagai berjanggut panjang putih dan tua. Maaf, Pak Samad.

Kedua pula, saya tidak pernah bercadang untuk secara sengaja menulis mengenai penulis dan aktiviti penulisan. Saya sendiri tiada kredibiliti rasmi mahupun kelayakan formal untuk menulis tentang kedua-dua hal ini melainkan hanya keangkuhan profesional dan ilmu yang saya miliki. Tapi dengan keadaan dunia kini, semua orang boleh jadi penulis. Memetik serangkap ucapan yang pernah saya terbaca tidak lama dahulu:

Untuk jadi penulis di Malaysia, anda hanya perlu pandai menulis.

Ucapan ini benar, kerana lihatlah saya; dilahirkan bukan dalam keluarga sasterawan, dibesarkan bukan dalam latar penulis dan penulisan, dididik bukan dalam aliran kreatif – lantas saya di sini sibuk bercerita mengenai penulisan.

Orang bertanya pada saya, “bagaimana untuk menjadi penulis?”. Jawapannya kompleks: saya tidak tahu. Sepertimana orang suka melukis, atau menari atau menyanyi, begitu mudahlah bagi saya untuk menulis. Kerana saya pandai menulis dan amat suka menguji kesesuaian ayat dengan menyumbatnya pada idea yang saya ada – ah lihat, ujiannya berhasil. Kerana saya juga ada idea yang bagus (kebanyakannya), maka secara tidak langsung, saya dikatakan penulis yang baik.

Sudah tentu ayat terakhir itu hanyalah kuasa menduga diri. Tiada siapa katakan saya penulis yang baik. Saya tidak menulis cerpen dan certot. Saya tidak menulis novel dan novella. Saya menulis sejarah dan sudah mahir dalam laras bahasa marhaen. Saya tidak menulis puisi dan pantun. Saya tidak menulis drama dan skrip. Saya menulis kritik dan ideologi sehingga ramai lebih selesa mewajahkan saya sebagai penulis lelaki berbanding penulis berjantina perempuan.

Ketiga, industri penulisan adalah industri yang fleksibel. Ia tidak akan tepu kerana perkembangan teknologi yang kian memproduksi ilmu sebagai kandungan kedua untuk arena pemasaran barang-barangan mereka. Industri penulisan sentiasa terbuka untuk para penulis baharu dan lama (yang ingin beradaptasi dengan semangat zaman yang baharu). Industri penulisan mengisi bahan dalam alam maya – esei ini bahkan membuktikan perkara ini. Dunia sentiasa memerlukan penulis dan penulisannya untuk menghidupkan isi dunia dalam talian.

Keempat, penulis perlu baca buku. Mereka perlu baca buku untuk mempelajari dan mencabar sesuatu. Mereka perlu minda yang sarat dengan persoalan yang boleh membuatkannya bingung sehinggalah proses otak mereka memaksa-muntah keseluruhan dilema dalam kertas. Sebagaimana terhasilnya esei ini. Esei ini diwahyukan pada saya semasa mengingat ulang cerita Kurt Vonnegut. Esei ini juga dihasilkan setua-tua tapai buah fikir bertahun lamanya. Saya kira, sejak 2014. Ketika saya mulai menulis dalam blog peribadi saya.

Masalahnya dengan dilema keempat ini adalah pemilihan buku dan kritikan terhadapnya. Berbeza dengan beberapa jenis orang, saya tidak gemar berkongsi pengalaman saya dengan sesebuah buku. Adakalanya buku tersebut lebih istimewa di dalam jiwa saya. Adakalanya buku tersebut lebih baik dikritik diam-diam. Adakalanya buku tersebut perlu diurai-kompos bersama sisa fikir yang lain. Adakalanya buku tersebut terlalu bagus sehingga akal saya menendang jemari penulis saya.

Ada penulis lebih suka menceritakan pengalaman mereka dengan buku tersebut. Memandangkan saya bukan dalam posisi terbagus untuk menyatakan salah-benar tindakan mereka, kehormatan saya terhadap gabungan konfesi seorang pembaca dan penulis dalam diri yang sama tetap wujud. Yang penting mereka menyumbang pada nusa dan bangsa. Tetapi penulis juga perlu membaca buku yang berlainan bidang agar lebih meluaskan pandangan dan wilayah pendapat mereka.

Kelima, seorang penulis harus menerima hakikat bahawa akan ada orang menulis material yang lebih hebat. Perbandingan adalah medan persaingan yang paling rendah, khas untuk para penulis yang sentiasa menjatuhkan semangat diri sendiri. Refleksi ini terbit tanpa ad hominem, sebaliknya ia lahir daripada pengalaman peribadi. Refleksi ini juga saya dapat lihat daripada ramai pelajar saya (ketika saya mengajar Bahasa Melayu untuk peringkat sekolah dan menjadi tutor Penulisan Akademik tahap Ijazah Sarjana Muda).

Penulis perlu ada egonya tersendiri. Penulis perlu ada dirinya sendiri dan identiti yang dicerminkan dengan gaya penulisannya. Gaya penulisan sepatutnya tidak terbatas pada teori-teori yang kita pelajari di bangku sekolah, Pra-Universiti dan Universiti. Kadangkala teori inilah perlu kita cabar agar mampu menghasilkan seni tulisan yang baharu. Surrealisme penulis, tapi dalam tanah teori sastera. Malahan, teori sastera bukanlah hukum ketat tanpa akhir. Graviti juga akan ada akhirnya, dan setua-tua teori penulisan, tua lagi pengetahuan manusia pada graviti. Sepertimana seni, saya pernah terbaca komentar seseorang mengenai lukisan seni berbunyi begini:

Inilah sebabnya saya berhenti buat seni. Orang selalu tanya, kenapa warna ni, kenapa warna tu… bagaimana jika saya mahu warna tu kerana saya mahu warna tu? Tiada maksud di sebaliknya, saya cuma suka warna tu.

Maka, penulisan juga berupa dan dirupakan sedemikian dalam pandangan saya. Pandangan ini mungkin boleh diheret dalam kota penulis sastera baku, dan lepas ini saya pasti akan dikecam. Apa boleh buat, penulis perlu ada egonya tersendiri. Jika ego itu membuatkan saya ditanam hidup-hidup, sekurangn-kurangya saya mati berprinsip dan mempertahankannya bererti saya sama tinggi dengan Socrates yang disuruh minum racun.

Keenam, kadangkala penulis wajib dimaafkan kerana membebel. Kadangkala pembaca lebih suka jika penulis tersebut memperlekehkan imaginasi orang bahawa penulis perlulah selalu betul, dan penulis perlulah selalu peka. Penulis bukanlah robot yang dipenuhi dengan kemahuan-kemahuan untuk perlu betul dan peka. Penulis juga seorang manusia, dan kepada penulis sekalian (ataupun sesiapa saja yang suka menulis biarpun hanya dalam posting Facebook), tulislah sepertimana anda seorang individu berintuisi dan berintelek.

Keterdekatan pembaca terhadap penulis, bagi saya, perlu bersandarkan pada realiti setara bahawa kita adalah sama-sama manusia yang berperasaan dan berhidup, bermasalah dan berdosa. Penulis adalah konduit ilmu yang akan boleh jadi betul dan salah – dalam masa yang sama. Bergantung pada sasaran penghirup tasik basah penulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *