|Cerpen| Pulasan Minyak Penuh Ke Mana?

Share this post on:

Oleh: Hafal Abu

“Kalau aku ada dua pilihan, sama ada menjadi seorang penulis terkenal tetapi tidak berkahwin, atau berkahwin tetapi aku terus hilang, mana satu menurut kau lebih baik?”

Soal Api kepadaku semasa kami baru sahaja menyertai sesi perbincangan Kuliah Buku (KUBU) di  restoran mamak. Habis saja perbincangan utama, sambung pula dengan borak santai tentang macam-macam topik. 

Kami tidak melepaskan peluang memandangkan ini saja masa untuk berkumpul dengan kawan di Semenanjung. Borak sampai diamnya suasana, seperti ada malaikat limpas kata orang-orang tua. Kalau sudah semuanya mula membuka telefon pintar, tanda tidak ada apa mahu dikatakan lagi. Petanda untuk pulang.

Api memberi soalan tentang pilihan semasa dalam perjalanan menuju ke bilik hotel bajet di sekitar Chow Kit. Kehangatan udara di kota pada waktu malam agak menyeksakan. Lain rasa nafasnya. Kami berdua menyeret langkah lesu satu persatu. 

Minggu ini memang satu minggu yang melelahkan. Dari menyelesaikan lambakan kerja pejabat, petangnya terus terbang ke tanah Malaya hanya untuk membeli buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Aku dan Api tidak akan melepaskan peluang ini kerana kami memang gilakan buku sejak zaman ijazah lagi. 

Cumanya, si Api lebih fokus kepada penulisan bukan fiksyen biarpun dia tidak benar-benar menguasainya. Barangkali buku itu menggambarkan kita sebenarnya kontang dengan pengisian apa. 

Kalau buku agama, barangkali dia ada kesedaran bahawa ilmu agamanya masih di tahap kurang memuaskan. Kalau buku cinta, mungkin dia mahu merasakan perjalanan cinta yang berbagai. Kalau buku fiksyen fantasi, mungkin dia mahu merasai perjalanan dunia alternatif. 

Begitulah Api. Banyak buku hal-hal penulisan dan keagamaan disambar. Mahu jadi ulamakkah, aku soal dalam nada gurau. Dia tergelak saja. Rata-rata buku agama yang dibelinya bukan buku biasa, tapi ianya bahagian penting untuk pembinaan rangka pemahaman agama yang kukuh buat bekalan dunia dan akhirat. Adalah sebuah dua buku fiksyen. Yang menjadi persoalannya sekarang, Api boleh tahan dalam menulis. Mengapa beli buku tentang penulisan?

Dan tentang soalan pertama tadi, ianya seperti satu perangkap bagiku. Dia baru putus cinta dalam beberapa bulan dulu. Teruk betul kecewanya. Putus dalam waktu rindu dan cintanya memuncak. Setelah pulang dari Pulau Langkawi selepas diberhentikan kerja secara mengejut, kemudian berpisah pula dengan orang tersayang. Sudahlah hilang mata pencarian rezeki, sumber kasihnya pula pergi meninggalkan diri.

Pada awalnya, aku terkejut dengan kehadirannya di rumah kerana tiga bulan sebelum itu dia begitu teruja memberitahu bahawa dia dapat kerja tetap. Tempatnya pula jauh. Penghujung dunia. Gaji memang memuaskan. Makan minum dan tempat tinggal, disediakan. Aku turut tumpang gembira.  

Pada hari pertama keberadaannya di rumah, aku sangkakan dia ada hal penting perlu diselesaikan. Buat dua tiga hari, aku biarkan saja Api di rumah. Mana tahu dia perlukan ruang untuk bersama dengan keluarganya. Tapi semakin lama, aku rasa tidak sedap hati. Mahu dekat seminggu lebih dia berada di rumah. 

Takkanlah syarikatnya beri cuti selama itu? Atas urusan apa? Aku pun terus singgah ke rumah. Semasa aku melawatnya, dia terlentang lesu di atas tilam besar. Baring, tidak berkata apa. Cakap pun sepatah-sepatah. 

Diajak bermain gitar di taman, dia enggan. Selalunya dialah yang paling gembira. Bukan seperti Api yang aku kenal. Badannya kelihatan sedikit susut. Sekeliling matanya membengkak. Sama ada dia terlalu banyak menangis atau berjaga malam atau tidur terlampau lama, siapa tahu?

Bangun, tidur, makan. Seperti bangkai hidup. Begitulah kata ibunya. Ibunya pula risau dengan keadaannya. Diajak duduk sekali beramah mesra dengan keluarga pun dia tidak mahu. Apatah lagi kalau aku yang tidak sedarah dengannnya?

Aku sudah menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakan, tapi dia tetap berdegil untuk kekal begitu. Rakan mana tidak sedih dengan keadaan sebegini. Cuit pinggang kiri, satu badan mengelak.

Selepas beberapa minggu dari hari aku melawatnya, aku ternampak dia sedang berlari sendirian di taman sewaktu pulang dari kerja. Pada mulanya aku tidak percaya, kemudian aku terus berjumpa dan bertanya khabar. 

Alhamdulillah. Dia sudah boleh menerima hakikat dan menerangkan apa yang berlaku dari huruf alif ke huruf ya. Semasa itulah dia buat perancangan mengejut untuk pergi ke PBAKL. Sudahlah baru merancang, tiket penerbangan dan hotel ditempah saat itu juga. Memang luar jangkaan dia kali ini. Semuanya dibayar dengan gajinya dahulu. 

“Almaklumlah, orang kaya. Gaji berkepuk, pampasan pun ada. Kali ini, kita kena move on brader!” katanya dengan senyuman lebar. Syukur. Ada cahaya kebahagiaan di wajahnya.

Jadi, berbalik kepada soalan pertama tadi, barangkali dia mahu memutar minyak motorsikal penuh. Namun, menuju ke arah mana yang lebih baik adalah relatif. Jika menjadi penulis, dia akan memenuhi cita-citanya. Kemudian, setelah tumbuh besar, semestinya dia akan membantu negara dalam melahirkan barisan penulis muda yang lebih baik. Masalahnya, dia akan merasa kesunyian dalam menuju usia tua.

Kalau dia berkahwin, namanya tidak akan kedengaran. Kewujudannya di alam maya, terus hilang. Tidak ada satu berita tentangnya pun yang orang akan tahu. Barangkali dia berusaha sehabis baik dengan bekerja untuk mengahwini bekas kekasihnya dahulu. Kerja apa pun dia sambar. Tidak kisahlah sebagai pengepam minyak di stesen gas, tukang promosi kerusi urut mahal, pencuci pinggan kedai makan Cina, dia sanggup.

Dia memang memegang kata-kata. Selama aku berkawan dengannya, tidak pernah dia mungkir janji. Tetapkan saja bila mahu berjumpa, dia akan ada di sana setengah jam lebih awal. Untuk kes kahwin ini pula, dia mahu buktikan kepada perempuan itu bahawa dia bukanlah sembarangan lelaki.

“Tidak ada jalan tengahkah?” Aku bertanya. Api menggeleng kepala dan tersenyum.

“Okaylah, aku pergi mandi dulu. Melekit rasa badan. Dah mandi baru lena tidur.” Kata-kata akhir aku untuk Api. Iya, tentang mandi dan tidur. Keesokan harinya, dia terus hilang. Aku tidak tahu dia ke mana. Tiket penerbangan tepat pada hari itu.

Aku sangkakan dia pergi sarapan di awal pagi. Setelah berjam-jam aku tunggu di dalam bilik, kelibatnya tidak juga muncul. Aku cuba menghubunginya. Gagal. Resah. Tinggal beberapa jam lagi untuk penerbangan ke kampung halaman. Nasib baik di tengah kota. Senang untuk naik tren terus ke lapangan terbang. 

Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari ke arah kaunter dan tanya jika sesiapa ada nampak Api, dan jam berapa dia keluar dari hotel. Sempat aku tanyakan kalau-kalau ada pesanan ditinggalkan. Rupa-rupanya Api terus beredar selepas waktu aku tidur. Pergi tanpa pesan.

Dengan rasa berat hati, aku bergegas menuju ke lapangan terbang. Tidak ada pandang belakang kerana kalau aku kekal menunggu, kecil peratus kebarangkalian untuk dia kembali. Aku harus selamatkan diri aku dahulu. Sedikit rasa kecewa timbul bila diperlakukan sebegitu.

Dari dalam kapal terbang sampai ke rumahku sendiri, masih sukar bagiku untuk menerima hakikat yang dia beredar begitu saja. Apa dia mahu meninggalkan rasa sepertimana dia ditinggalkan?

Dan persoalan utamanya sekarang, di antara dua jalan itu, bagaimana aku mahu tahu Api mengambil jalan yang mana satu? Haruskah aku bertandang ke PBAKL setiap tahun dan mencarinya di semua reruai? Atau tunggu saja kad perkahwinan yang aku pun tidak tahu bilakah tarikhnya?

Author: Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

View all posts by Borneo Komrad >

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *