Oleh: Azwan Irwan
“Kita mula dengan tenang, kita mesti habis dengan tenang.”
Ya! Ayat itu adalah yang sering digunakan oleh cikgu sebelum mula kelas dan juga sebelum habis kelas di Sekolah Alternatif Tawau. Ini adalah sedikit cerita tentang perjalanan waktu persekolahan anak-anak hebat yang diabaikan dan disisihkan daripada pendidikan formal di tanah air ini. Anak-anak ini merupakan anak bangsa yang lahir tanpa dokumen di negara sendiri disebabkan pelbagai faktor iaitu faktor ekonomi, sosial dan politik.
Sekolah Alternatif di Tawau ini merupakan sekolah alternatif yang ketiga selepas di Tuaran dan Semporna. Ini merupakan inisiatif anak muda dan Mahasiswa yang percaya bahawa ‘pendidikan adalah hak untuk semua’ masyarakat terutamanya generasi kanak-kanak. Ramai yang kata kanak-kanak ni ibarat kain putih yang suci dan yang mencorakkan mereka adalah peranan ibu bapa di rumah dan guru di sekolah. Tapi malangnya, masih ada kanak-kanak yang tidak dipedulikan tentang ilmu pendidikannya. Apabila mereka terpengaruh dengan jenayah sosial dan yang paling menyedihkan bila mereka ditindas, tidak ramaipun yang mahu membela nasib mereka malah mereka akan dihukum dan semakin dipinggirkan.
Sebagai seorang cikgu yang mengajar anak-anak ini, terlalu banyak ilmu baharu yang aku dapat daripada mereka semua. Bukan sahaja tentang ilmu akademik tapi ilmu tentang hidup sebagai seorang manusia yang menumpang di muka bumi ini iaitu ‘bersyukur dan menghargai’. Aku berani katakan bahawa mereka sangat bersyukur dan menghargai apa yang mereka dapat kerana aku sendiri melihat kesungguhan dan semangat yang tinggi bila mereka datang ke sekolah.
Pernah aku ditanya oleh anak-anak ini. “Cikgu, sekolah kita ni ada baju ka?”, “Cikgu, baju sekolah kita warna apa?” “Anak-anak cikgu yang hebat, balik rumah nanti jangan lupa belajar huruf ABC yang dibagi dan sampaikan juga salam cikgu dengan ibubapa kamu”, jawabku. Tiba-tiba, anak-anak ini semua ucap terima kasih dan minta maaf dengan aku. Aku hairan, sepatutnya aku yang perlu minta maaf sebab tidak dapat jawab pertanyaan mereka dengan betul. Ya, kadangkala persoalan anak-anak ini memang di luar jangkaan tapi dalam masa yang sama mereka cepat berfikir dengan baik dan mudah untuk mengungkapkan kata maaf dan terima kasih. Itu yang penting bagi aku.
Kembali pada petikan awal tadi, mengapa aku selalu kata “Kita mula dengan tenang dan kita mesti habis dengan tenang,”? Kerana ketika waktu P&P berlangsung, banyak sahaja perkara yang berlaku antara anak-anak ini seperti bergaduh mulut sesama mereka. Bagi aku, ini masalah yang tidak dapat diubah dan dihentikan dalam jangka masa yang cepat, ianya perlu proses yang panjang kerana ini sikap semulajadi anak-anak yang sering bertengkar hal-hal yang remeh. Bukan kanak-kanak sahaja malah orang dewasa juga selalu bergaduh hal-hal yang remeh, kan?
Dengan ini, anak-anak di Sekolah Alternatif Tawau sudah mula mengerti maksud di sebalik ayat yang sering aku ungkapkan itu. Mereka semua akan mula diam, tarik nafas dan bertenang sebelum menyanyikan lagu Al-Fatihah dan membaca doa habis belajar. Setelah itu, anak-anak dan cikgu-cikgu saling bersalaman antara satu sama lain.
Benih-benih cinta ini akan subur dengan baik! Semoga.