Oleh: Farahani R.

Eksistensialisme tidak sekadar istilah besar berakhir dengan –isme yang kosong. Eksistensialisme sebenarnya mencakupi asas pelbagai bidang kemanusiaan. Ianya bermula daripada pertanyaan manusia kepada Tuhan; aku siapa sebenarnya?

“Existence precedes essence”.

Kewujudan mendahului inti pati.

Sartre percaya bahawa manusia tidak ditentukan dengan simbol dan status bagaimana dia dilahirkan. Manusia wujud, dengan pilihan-pilihan yang ada dalam dirinya. Inti pati yang dimaksudkan ialah jiwa, identiti dan segala macam asosiasi yang terbina kerana persekitaran dan pilihan peribadi.

Idea eksistensialisme ini besar maknanya buat manusia kerana ini membangkitkan semangat memilih, freewill. Manusia boleh memilih untuk berbuat sesuatu, dan hal ini menjadikan sifat dan sikap manusia itu pada diri sendirinya, serta kepada manusia lain. Baik, jahat manusia – semuanya pilihan.

Namun sekadar menoktahkan eksistensialisme sebagai suatu idea bahawa manusia boleh memilih, adalah pernyataan yang kurang lengkap. Dalam pilihan-pilihan yang ada, wujudlah tanggungjawab. Manusia boleh memilih, dan kerana mereka dapat memilihlah, mereka harus menerima kesan dari apa pun pilihan yang mereka lakukan.

Sambung Sartre;

“…man first of all exists, encounters himself, surges up in the world—and defines himself afterwards”
Existentialism is a Humanism.

Untuk manusia yang akhirnya sedar mengenai kuasa memilih dan memutuskan tindakan yang dilakukannya, kebebasan mulai dipegang erat oleh para manusia. Ya, kita bebas berbuat apa saja. Walau ia dilihat mengarut. Bagi para eksistensialis, ‘mengarut’ hanya terjadi di minda kita. Menurut Albert Camus, ‘mengarut’ berlaku apabila berlaku perselisihan antara realiti manusia dan realiti hidup yang difahami oleh seseorang.

Dalam konteks dunia kini, ‘mengarut’ juga dianggap sebagai suatu yang menyalahi budaya pemikiran setempat. Di Malaysia misalnya, isu LGBTQ+ dianggap sebagai suatu bencana, suatu kekarutan yang terjelma dari entah ceruk mana-mana. Di Amerika pula, isu LGBTQ+ pula semakin mendapat ruang secukupnya untuk dinobatkan sebagai salah satu isu kemanusiaan. Pertentangan budaya pemikiran ini menghasilkan takrif ‘mengarut’ yang ternyata berbeza.

Kembali ke pentas pengenalan ini, eksistensialisme tidaklah boleh dikatakan hanya wujud apabila orang putih menuliskannya lalu memberi kuliah ilmiah di khalayak ramai. Eksistensialisme ini rupanya sudah pun wujud lebih lama. Contoh terbaik adalah menerusi eskatologi dalam agama dan kepercayaan manusia.

Eskatologi, atau dengan definisi mesra rakyat ialah sistem pahala/dosa, syurga/neraka, purgatori, kiamat, penghakiman. Dalam Islam, kita tahu bahawa sistem pahala dan dosa, syurga dan neraka, kiamat sebagai hari pengadilan, malaikat penjaga pintu dua tempat eternal ini. Secara langsung, ini membabitkan tindakan-tindakan yang pernah dilakukan oleh para manusia, di mana yang baik akan diberi ganjaran manakala yang buruk akan diberi hukuman.

Ketika hayatnya, manusia diberi peluang dan pilihan untuk memilih tindakan. Adakah saya patut mencuri? Adakah saya patut menyembunyikan kasut yang terbiar di depan bilik yang ada orang? (malang sekali kasut saya disembunyikan oleh pelajar pada waktu menukil tulisan ini) Adakah saya patut memilih untuk melakukan kejahatan? Pada hujung waktu, perkara ini dihitungkan seadil-adilnya dan akan diberi kesan yang setimpal dengan tindakan tersebut.

Tapi sejauh mana keinginan dan kebebasan manusia untuk memilih? Contoh paling mudah agar dapat meringkaskan perbincangan ini adalah tempat lahir, ibu bapa, tarikh lahir adalah perkara yang benar-benar tidak terjangkau oleh bakal manusia ini untuk memilih. Sartre menjelaskan ini sebagai facticity; kualiti dan syarat fakta. Jika mereka dilahirkan cacat anggota kaki, maka mereka tidak boleh menikmati kebebasan berjalan ke sana ke mari. Jika mereka dilahirkan di Gaza dalam suasana huru-hara, maka mereka tidak boleh menikmati kebebasan bermain tanpa perlu mencemburui lalat yang boleh melihat ke seluruh arah.

Eksistensialisme turut mengheret persoalan keperibadian yang autentik, iaitu sejauh mana kita menjadi diri kita sendiri. Konotasi kemenjadian diri selalu dilazimkan dalam fahaman eksistensialisme. Salah satu pepatah yang disukai ramai:

You are who you are, there’s nobody like you, and to try and be like someone else is just a lie
– Amy Lee

Authenticity pula melibatkan imej seseorang yang dilihat dari pandangan mata orang lain. Misalnya, seorang guru haruslah kemas, cantik dan bergaya. Seorang jururawat haruslah kemas, berpakaian putih dan bersopan santun. Pramugara pula haruslah rupawan, tinggi lampai dan mudah senyum. Dari sudut eksistensialisme, ia tidak berlawanan dengan konsep kebebasan memilih. Malah, ini menampakkan keberjayaan seseorang manusia untuk bertindak dengan rela hatinya (lalu memanfaatkan kebebasan dirinya) untuk memakai baju seragam untuk pergi ke kerja, atau memakai beg sekolah untuk pergi ke sekolah.

Eksistensialisme, jika ingin dipatah ringkas, adalah apabila munculnya tanda-tanda soal yang menguasai diri;

Aku ini apa maknanya?

Aku ini siapa kepada diriku? Kepada kau? Kepada manusia lain? Kepada dunia?

Memetik Mark Twain:

The two most important days in your life are the day you are born and the day you find out why.”

Dua hari yang paling penting dalam hidupmu adalah hari lahirmu dan hari kau tahu kenapa kau lahir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *