Falsafah Membaca

Share this post on:

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Pada zaman dahulu, ketika aktiviti manusia masih primitif dan berlegar sekitar melengkapkan keperluan survival hidup, membaca bukanlah merupakan satu skil yang penting. Skil yang penting pada ketika itu adalah kebolehan memburu makanan, mengenal pasti buah yang tidak beracun, juga mengumpulkan tumbuhan yang boleh dimakan. Semakin lama manusia berubah, meninggalkan sistem nomad dan mula menetap dan berubah menjadi masyarakat agrarian. Kemudian dari situ lahir sistem-sistem kompleks seperti ekonomi, undang-undang dan keagamaan; yang memerlukan kemahiran menulis dan membaca.

Namun ketika zaman agrarian, kemahiran membaca hanya berlegar kepada sesetengah golongan elit. Golongan bangsawan, para hakim dan kadi yang menetapkan undang-undang, paderi yang membaca kitab-kitab agama pada manusia, juga pegawai-pegawai penting kerajaan dan istana. Membaca merupakan skil elit. Namun perubahan masyarakat ke zaman industri yang lebih kompleks, yang memerlukan orang awam membaca untuk membolehkan mereka berkerja di kilang-kilang baru, kemahiran membaca semakin meluas. Sekolah-sekolah ditubuhkan untuk mengajar manusia membaca, ia menjadi skil yang penting bagi survival manusia hari ini.

Jika dahulu membaca adalah keistimewaan golongan elit, hari ini hampir semua masyarakat awam boleh membaca. Kita membaca disebabkan banyak perkara, untuk mencari maklumat, untuk menamatkan pengajian, bagi memahami arahan kerja, juga sebagai aktiviti masa lapang untuk menikmati bahan-bahan karya yang mungkin selama ini tersimpan hanya untuk golongan elit. Dalam kata lain, kemahiran membaca tidak lagi dimonopoli, ia telah didemokrasikan. Tetapi tidak semua dari kita mengganggap membaca satu perkara yang membaca, kerana ia sudah menjadi budaya, kata orang putih “the new normal”, jadi ia tidaklah begitu dihargai dan digunakan sebaiknya.

Kita berhenti membaca apabila kita keluar dari sekolah dan universiti, anggapan kita buku adalah bahan akademik sahaja. Tapi sebenarnya ilmu dan pengalaman itu lebih luas dan besar dari apa yang mampu dimuatkan di dalam buku teks, kita bukan menjadi “terpelajar” hanya kerana kita pernah menduduki zaman persekolahan dan universiti, tetapi pengalaman itu hanya merupakan asas untuk kita benar-benar “belajar”. Pembelajaran sebenar adalah sepanjang hayat.

Ramai orang merasakan membaca dan menghabiskan satu buku itu sukar. “Saya tidak punya masa” atau “buku ini terlalu tebal”. Sebenarnya, setebal mana pun buku, kita mempunyai masa untuk membaca dan menghabiskannya. Saya tertarik dengan sebuah nasihat yang saya dengar melalui radio, berkenaan dengan azam tahun baru. Ramai yang meletakkan azam tahun baru yang besar, sehingga ia sukar dicapai dan akhirnya tidak tertunaikan. Sebaliknya kita harus membuat azam yang kecil sahaja, kemudian kita kumpulkan azam-azam kecil ini agar ia menjadi besar. Contohnya berazam untuk turun berat badan 20 kilogram, itu terlalu besar, lebih elok kita pecahkannya menjadi lebih kecil, 2 kilogram misalnya, kemudian kita kumpulkan. Begitu juga membaca, buku yang tebal itu bukan untuk dihabiskan dalam masa sejam atau sehari. Jika kita membaca 10 mukasurat sahaja sehari, kita sudah boleh menghabiskan buku setebal 300 mukasurat sebulan.

Tetapi falsafah membaca sebenar bukanlah mengumpul berapa banyak buku yang telah dibaca, tetapi apa yang kita dapat dari bacaan kita. Dalam hal ini saya bersetuju dengan Chomsky yang menyatakan tiada gunanya kita membaca jika kita melupakannya 5 minit kemudian. Tentu sekali kita tidak dapat mengingati setiap bait kata yang kita baca. Tapi apa yang lebih penting adalah kefahaman dalam pembacaan, jika terdapat idea-idea yang menarik tuliskan dalam bentuk nota, atau lebih baik tuliskan sedikit ulasan berdasarkan kefahaman kita sendiri. Ini lebih baik dan bermakna, lebih membuatkan kita lebih belajar, berbanding membaca 100 buku tanpa dapat menerangkan semula apa yang kita baca.

Hampir kesemua ilmu direkodkan dalam bentuk penulisan, kecuali mungkin beberapa pengecualian. Oleh kerana ruang lingkup ilmu itu besar, kita mungkin keliru hendak bermula dimana. Buku apa yang perlu dibaca? Ini mungkin berbeza dari individu ke individu yang lain. Masing-masing mempunyai kecenderungan dan minat tersendiri. Namun jika anda mungkin ingin membaca, tetapi tidak tahu apa minat anda dan dimana hendak bermula. Saya cadangkan membaca buku yang mencabar pemikiran anda yang sedia ada. Buku yang mencabar common sense, yang mencabar kerajaan, mencabar kuasa, juga yang mencabar kebiasaan.

Franz Kafka menulis bahawa “I think we ought to read only the kind of books that wound or stab us. If the book we’re reading doesn’t wake us up with a blow to the head, what are we reading for?”. Dalam erti kata lain, Kafka menyarankan kita membaca buku yang membuatkan kita tercabar, rasa tidak selesa, semakin membuatkan kita tertanya-tanya, bukan buku yang membuatkan kita selesa. Kerana itulah tugas pembacaan. Mencabar minda kita, membuat kita tidak selesa seterusnya memaksa kita membaca lebih banyak lagi untuk mencari jawapan, dari situ bola minda kita akan bergerak, dari satu buku ke buku yang lain. Lebih banyak membaca bukan membuatkan kita lebih banyak tahu, tapi kita tahu bahawa ada banyak benda sebenarnya yang kita tidak tahu. Itulah pemecah kebodohan, orang-orang bodoh adalah orang yang berhenti berfikir kerana baginya dia telah mengetahui segala-galanya. Itulah falsafah membaca, memecahkan kebodohan dan meneroka keilmuan.

Author: Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

View all posts by Borneo Komrad >

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *