Oleh: Farahani R
Jika saya diminta senaraikan 5 filem historikal sejarah yang saya akan sanggup tonton berkali-kali;
1. The Mummy 1,2,3
2. 300 & 300: Rise of Empire (Faktanya banyak benar dari sejarah)
3. King Arthur: Legend of the Sword. (Sinematografinya sedap)
4. National Treasures (mana-mana yang ada Nicholas Cage)
5. Hacksaw Ridge
Dulu masa kecil, saya suka piramid. Saya suka misteri-misteri di bumi Kairo. Saya suka merenung potensi saya disumpah kerana menjumpai mumia. Saya suka konspirasi-konspirasi non-human yang dikatakan meminjamkan teknologi super-luar-dari-minda kepada manusia Mesir waktu itu.
Dulu masa kecil, saya suka rahsia kerajaan. Saya teringin dikejar dan mengejar klu-klu berpandukan kuasa otak dan ilmu yang terkandung di dalamnya. Saya ingin menembak dan ditembak apabila saya pegang barang usang ternilai seluruh sejarah negara; mungkin juga sejarah peradaban manusia.
Namun itu fantasi masa kecil. Ia bagaikan satu gelung buih yang terpecah saat saya diberi peluang menuntut bidang sejarah (dan disisipkan sekali dengan bidang arkeologi). Jika orang kata sejarah itu ertinya menghafal buku dan fakta, cuba bayangkan pula apabila orang tahu saya ada belajar arkeologi.
Arkeologi, menurut kata orang, adalah ‘main korek-korek tanah’. Di awal pembelajaran arkeologi, kami diajar sedikit mengenai teknologinya dan sedikit prinsip asas geologi dan beberapa lain yang jujurnya saya tidak lagi ingat. Tapi yang saya ingat, di situ saya putuskan untuk tidak menjadi seorang ‘tukang cari mumia’.
Sebelum itu harus saya terangkan, arkeologi ini cabangnya banyak. Malah metod pengkajiannya juga ada alirannya sendiri. Ada menggunakan sains sebagai perspektif, ada pula menggunakan budaya sebagai perspektifnya. Keadaan ini agak sama dengan bidang kajian sejarah juga. Egyptology cuma salah satu cabang yang saya ‘pernah’ serius sebelum memutuskan untuk tidak lagi berkenan pada cabang ini.
Dalam laras bahasa yang lebih profesional, ‘tukang kejar mumia’ disebut sebagai Egyptologist. Piramid juga ada banyak jenis; dan yang saya lihat, ia adalah bidang kerjaya yang hampir sempit. Jika dahulu, orang putih sibuk menjelajah mencari kemasyhuran dengan mengebom pintu masuk makam-makam raja kering diselaputi resin dan kapas. Sekarang, ada khabar angin mengatakan bahawa kerajaan Mesir sudah pun menenggelamkan beberapa haluan bawah tanah dalam piramid-piramid yang sudah dipaksa-buka ini.
Kenapa ditenggelamkan? Entahlah. Kita hanya boleh berteka-teki. Sphinx juga tidak boleh menjawabnya untuk kita. Orang tempatan di sana pun tidak begitu peduli dengan mayat-mayat diraja mereka. Segelintir miskin-jahat di sana pun menjarah emas dan harta mewah yang di kubur bersama.
Faktor kedua saya tidak mahu jadi Egyptologist adalah kewangan. Kerajaan Mesir pun ada sejarawan dan tukang cari mumianya. Zahi Hawas yang selalu jadi pengacara dokumentari berkaitan mumia dan piramid Mesir diberikan keistimewaan di mana hanya kumpulan Zahi Hawas sajalah yang dapat. Monopoli ini membekukan bidang pengkajian mumianya dan menyukarkan sejarawan kecil (yang bukan orang Mesir) untuk turut mengkaji tinggalan-tinggalan silam ini.
Faktor ketiga, sudah pasti kerana jantina saya. Saya tidak katakan bahawa wanita tidak boleh menjadi apa yang mereka ingini. Tapi dalam pertimbangan saya, Egyptologist wanita ada cabarannya di sana. Kecuali jika anda wanita Inggeris atau Amerika berkulit putih – itu senang. Namun menjadi seorang sejarawan wanita apatah lagi yang perlu turun berpeluh panas, memang kena tahan hati. Saya nafikan ketidakmungkinannya kerana ini hanyalah pendapat peribadi sahaja. Apalah saya tahu, kan?
Jika anda pernah tonton The Mummy, sudah pasti anda faham jika saya petik dua ‘kitab’ penting dalam filem tersebut iaitu The Book of Life (yang sepatutnya ditanam di bawah patung Horus) dan The Book of Dead (yang sepatutnya ditanam di bawah patung Anubis). Realitinya, setakat ini hanya dijumpai The Book of Dead, atau disebut sebagai Papirus Ani.
Papirus Ani, atau Papyrus of Ani ini mengisahkan bagaimana perjalanan seseorang roh (atau Firaun) melalui pintu-pintu cabaran agar lulus dalam ujian Anubis supaya boleh dilahirkan semula atau disatukan bersama Osiris. Dalam filem pula, membaca The Book of Dead boleh mengarahkan mumia suruhan untuk membunuh orang lain. Bahkan, membuka buku tersebut juga dipotretkan harus ada kunci rahsianya tersendiri.
Dalam pemikiran peradaban Mesir kuno, mereka tidak peduli tentang hidup. Kepercayaan mereka disucikan dengan dewa-dewa pengadil dan pengasih apabila mereka sudah mati. Oleh sebab itu, eskatologi Mesir sangat menarik sehingga mampu menundukkan minat segenap manusia untuk terus menelan fiksyen berlatarbelakangkan diraja Mesir kuno dan sumpahan dan mumia. Sentiasa berakhir dengan mumia.
Saya masih lagi tidak mahu jadi Egyptologist. Saya kini lebih suka menghayati eksotiknya pandangan piramid yang terhakis lama akibat torehan angin, meniup detik-detik tadi menjadi sejarah. Membaca kitab kematian mereka lebih relevan berbanding terus menerus memaksa-muatkan diri dalam ruangan padat para Egyptologist.