“Terpaksa pilih hitam untuk hidup!”
Oleh: Mukmin Nantang
Sinopsis
Kompek Hitam merupakan sebuah adaptasi realiti kehidupan yang berlaku kepada masyarakat sekitar Daerah Tawau Sabah. Daerah Tawau terkenal dengan berbilang etnik yang berasal dari Negara Indonesia dan Filipina. Kisah ini menceritakan tentang sebuah keluarga yang melarat kemiskinan. Acok merupakan seorang anak muda yang terpaksa menyara ibu dan adik perempuan setelah kematian bapanya. Ibu Acok sering saja sakit setelah kematian bapanya. Adiknya pula sedang belajar di peringkat SPM. Acok menghadap masalah sukar mendapat pekerjaan kerana dia tidak mempunyai kad identiti sebagai warga Negara Malaysia. Liku-liku keperitan perjalanan kehidupan Acok sehingga terjerumus ke lembah hitam sebagai seorang penjual rokok seludup di jalanan.
Babak 3
(Kelihatan Acok, Neng, Paman dan Puding di atas pentas)
Puding: Neng cantik pulak kau ni hari.
Neng: Bukan setiap harikah.
Puding: Tapi hari ni paling cantik, sudahlah hidung mancung, kulit putih, tinggi, bibir seksi..
Neng: Sudahlah tu Ding. Menyampah aku. Kau mahu apa?
Puding: Ada duit pecahmu kah? Tukar dulu lima puluh duit sepuluh-sepuluh.
Neng: Setan. Betulkan kau ni ndak ikhlas puji aku. Kejap (Mengambil duit di dalam dompet). Nah Ding.
Puding: Terima kasih sayang (Mengeluarkan bunga dan memberi kepada Neng)…
Neng: Ish macam-macam kau ya.
Puding: Hahaha steady bah bukan ada si Otok pun.
Neng: Apa pulak kena mengena dengan si Otok.
Puding: Purak-purak pulak kau.
Neng: Sudahlah kau. Puding kau ndak bawa dia beceritakah? (Mengalihkan pandangan kearah Acok)
Puding: Siapa?
Neng: Tu bah budak baru yang Paman bawa kelmarin. Aku dengar dia orang bugis sama macam kau. Ndak payalah kau sombong bawalah dia becerita. Malu-malu dia tu.
Puding: Aish biarlah bah dia. Kesah pulak aku dia orang bugis macam aku. Ndak penting semua tu. Bukan dia boleh tambah periuk nasiku. Di sini kita mahu cari makan. Bukan mahu buat persatuan bugis. Persatuan bugis pun biasanya dibuat untuk tambah periuk nasi. Konon perjuangkan nasib orang bugis last-last jadi orang politik. Rupanya mahu diundi. Hahaha
Neng: Sudahlah merepek Ding. Macam cewek kau ni membebel. Pergilah kau menjual.
Puding: Ok sayang…
(Neng datang mendekati Acok)
Neng: Hai budak bugis…
Acok: Eh hai…
Neng: Aku Neng… (sambil hulurkan tangan untuk bersalaman)
Acok: Iya aku tahu… (cuma melihat tangan Neng)
Neng: Cantik begmu…
Acok: Beg?
Neng: Hahah namamu siapa?
Acok: Panggil saja aku Acok.
Neng: Oh… Acok…
Acok: Macam mana kau tahu aku orang bugis?
Neng: Sebab kumismu… Hahaha ndakdalah, aku tahulah macamlah susah betul, ndak perlu ambil SPM untuk tahu. Orang bugis saja suka simpan-simpan kumis.
Acok: Kau orang jawakan?
Neng: Iya, macam mana kau tahu? Muka aku macam baksokah? Hidungku macam pantolan?
Acok: (Tersengeh) Lama sudah kau jual rokok?
Neng: Bolehlah tahan dua tahun lebih, selepas aku berhenti dari kerja dengan makcikku jadi pelayan warung nasi lalap dekat haiway sana.
Acok: Kenapa kau berhenti?
Neng: Kerja dengan orang yang ada kaitan keluarga ni semua benda ndak betul, ungkit sana ungkit sini, mentang-mentanglah dorang tu ada IC, kononnya jamin passportku, sudahlah bagi gaji murah, kerja 12 jam, mana cukup mahu kirimkan keluargaku di Indon. lagi pun aku rasa ndak bebas kerja sana.
Acok: Oh iyakah. Macam mana kau boleh sampai sini Neng.
Neng: Dulu si Otok selalu menjual rokok tempat aku kerja, dialah yang bawa dan ajar aku jual rokok.
Acok: Oh… si Otok…
Neng: Kenapa dengan dia…
Acok: Eh ndakdalah. Neng ok kah kerja sini. Kau ndak rasa lainkah. Sudahlah kau perempuan.
Neng: Hal cari rezeki ndak kira jantina Cok. Kau tahukah jual rokok ni satu hari boleh dapat 150 ke 200 ringgit kalau kita rajin. Cukuplah buat aku bayar flat tempat aku tinggal, kirim keluarga dan sambung passportku. Asalkan jangan buat hal dengan orang lain dan jangan langgar peraturan sini… Urmm kau pulak kenapa sampai sini.
Acok: (diam)
Neng: Ceritalah.
Acok: Ndak tahulah.
Neng: Ala ceritalah (memasang muka kearah Acok).
Acok: Aku sebenarnya ndak mahu pun buat semua benda ni. Aku datang dari keluarga yang bagus-bagus. Mamak bapakku memang orang bugis sini. Dua-dua ada IC. Tapi begitulah, keluargaku hidup susah.
Neng: Untunglah kau warganegara sini.
Acok: Untung?… Ndakda maknanyalah Neng.
Neng: Kenapa kau cakap macam begitu? Menjadi warganegara Malaysia, punya status kewarganegaraan sinikan sangat bertuah.
Acok: Warganegara yang saling ndak peduli antara satu sama yang lain.
Neng: Tapi di sinikan banyak badan kebajikan?
Acok: Badan yang indah khabar dari rupa. Tempat berkumpulnya orang-orang malas yang hanya tahu membuncitkan perut sendiri. Bila kita datang akan dilayan mahu ndak mahu. Kita dianggap anjing yang hanya tahu minta-minta bukannya mereka ada usaha cari orang susah macam kita.
Neng: Sudahlah tu Cok. Aku paham maksudmu. Siapalah kitakan. Walau kita berusaha macam mana pun macam sekarang ni kita tetap dianggap sampah masyarakat. Cok kenapa kau ndak cari kerja yang lagi bagus?
Acok: Sebenarnya masa kecil bapakku terpaksa jual surat lahirku.
Neng: Astaghfirullah.
Acok: Sebab masa tu keluarga kami melarat kemiskinan, makan susah, mahu bayar sewa rumah, adikku sakit kuat masa tu perlu duit banyak. Pinjam dengan keluarga lain tiada satu orang pun mahu bantu. Masa tu aku masih kecil aku ndak faham pun. Tapi bila aku besar, umur 12 tahun aku ndak dapat buat IC.
Neng: Bapakmu sekarang di mana Cok?
Acok: Masa umurku 15 tahun bapakku meninggal dunia sebab kemalangan di tempat kerja. Aku tinggal satu-satunya lelaki dalam keluarga jadi aku rasa bertanggungjawab untuk cari duit. Susah, kerja pun susah, aku masih bawah umur masa tu, banyak sudah kerja aku buat tapi asal operasi imigresen aku mesti lari. Sudahlah bawa umur, tiada IC lagi. Terakhir aku kerja di kedai kain Pakistan tapi benda yang sama jadi lagi. Lepas tu aku lama juga ndak kerja. Bila keadaan sudah ok aku mula pungut tin aluminium dan besi buruk sampailah baru-baru ni aku terjumpa Paman di sini. Dia yang bawa aku. Mula-mula aku ndak mahu tapi apa lagi aku boleh buat dalam keadaan begini, ndakkan aku mahu tengok keluarga merempat di tepi jalan. Lagi satu, sebenarnya aku mahu tengok adikku sekolah bagus-bagus sampai masuk universiti. Ndakpa lah mungkin aturan tuhan lebih baik buat aku.
Neng: Betul itu aku setuju. Syukur juga tuhan temukan kita di sini. Hehehe…
Otok: Neng… (Datang dengan muka tidak puas hati dengan Acok dan memberi Neng beberapa bungkusan rokok)
Neng: Eh Tok. Terima kasih Tok.
Acok: Tok (Menghulurkan tangan)
Otok: (Tidak mengendahkan)