Oleh: JEFRY MUSA
Bila bercakap tentang mahasiswa ini aku pun tak tahu yang mana satu aku kena sentuh, cium dan jilat dulu. Tapi hari ini aku nak cerita tentang satu kisah lucu tentang seorang pemburu yang memasuki hutan bersama sahabatnya. Ketika mereka berada di dalam hutan sahabatnya terkena serangan jantung dan tidak lagi bernafas. Pemburu ini terus menelefon hospital untuk meminta bantuan.
“Kawan saya terkena serangan jantung dan kini sudah mati. Apa yang saya perlu buat?”
“Jangan risau encik, bawa bertenang, saya boleh bantu. Sekarang pastikan dulu kawan encik itu sudah mati.”
Suasana menjadi sunyi seketika dan tiba-tiba bunyi dua das tembakan dilepaskan.
“Ok cik, sudah mati, satu di jantung, satu di kepala.”
Kisah lucu ini sangat sesuai untuk menggambarkan bagaimana mahasiswa hari ini berkonflik dan bertembung sesama mereka. Masalah bagi aku bukan kerana mereka bertembung dan bergaduh tetapi konflik yang timbul hari ini langsung tidak berguna dan tidak dapat menggerakkan atau merubah sebarang material walaupun sebutir pasir. Rakyat tetap sedang menghitung hari untuk mati.
Soalan aku kepada mahasiswa selalu jelas, ringkas dan padat,
“Benda apa yang kau mahu ubah?”
Aku mempunyai masa untuk menerangkan tentang perkara-perkara yang abstrak contohnya liberal, konservatif, fasis, rasis, sexis dan apa lagi yang berbunyi is is is di belakang. Tetapi aku tidak berminat dan mempunyai masa untuk bergaduh tentang is is is ini. Bukan bermakna aku menolak kepentingan sesuatu yang abstrak seperti budaya, perasaan, sastera dan seni dalam mencorakkan dunia tetapi aku tidak mahu terperangkap dan akhirnya terhenti menjadi liberal wannabe.
Aku Mahu Mati Dalam Kiri Bukan Liberal Wannabe
Mahasiswa seharusnya jelas dengan apa yang mereka mahu sentuh, cium dan jilat. Perbincangan mereka bukan lagi hanya terperangkap dengan metod, fahaman dan kelompok mana yang mengangkat sesuatu isu. Pertembungan yang jelas adalah pertembungan yang semua boleh rasa dan nampak mengunakan deria mereka tentang benda apa yang mahu digerakkan. Sebagai contohnya kelompok kanan mahu menggerakkan sebiji batu ke arah depan manakala kelompok kiri mahu batu itu ke belakang.
Pertembungan ini jelas! Petani, nelayan, buruh, pemandu grab, doktor, peguam, bomba, polis dan Mahathir boleh faham dengan apa yang mahasiswa sedang bergaduh ini. Mereka boleh menilai dan tahu arah mana batu ini akan memberi manfaat kepada kelompok mereka bukan mahu tahu siapa yang akademi fantasia dan siapa akademi fantasial. Dua-dua ini kalau masuk ke kampung akan diikat di pokok mangga, digigit kerangga sehingga pandai mengucap balik.
Aku berani mengatakan bahawa pergaduhan-pergaduhan mahasiswa dan anak muda yang abstrak ini akan berakhir menjadi liberal wanabe kerana berpusing pada sosok-sosok seseorang dan lagi tidak malu pada diri mereka sendiri. Mereka tidak lagi bercakap tentang kelompok/masyarakat/buruh/petani yang teramai tapi tentang masalah-masalah dalam group whatapps mereka sendiri. Lucu? Itulah mahasiswa yang mahu pendidikan percuma tapi langsung tidak membantu/memberi/menunjukkan manfaat mereka kepada masyarakat. Selepas itu mengeluh dan terasa hati bila dikecam oleh orang ramai.
Membaca Atau Beraksi, Jika Tiada Analisis Baik Jadi Babi
Masuk tahun 2019 ini, adalah sesuatu yang lebih lucu daripada Tengku Mahkota Johor apabila mahasiswa kita mengeluarkan hasrat dan impian untuk kelompok-kelompok mereka bersatu. Hasrat ini adalah sama sahaja dengan orang Melayu yang sejak tahun 1511 sehingga hari ini mahu melihat bangsa mereka bersatu. Membosankan apabila kita mahu bersatu atas alasan-alasan yang abstrak seperti Melayu, aktivis atau progresif. Mereka ini mungkin peminat filem-filem Korea atau Hindustan yang terbawa-bawa cara pandang dunia yang indah-indah sahaja. Pertembungan dan konflik bagi mereka adalah satu dosa yang sepatutnya perlu dielakkan atau berlangsung secara senyap-senyap sehingga menganjing pun boleh menjadi isu masyarakat yang besar bagi mereka.
Mahasiswa harus mencari, membentuk dan membina pendirian mereka sendiri sejak daripada ruang abstrak sehinggalah ruang material. Analisis demi analisis harus dijalankan oleh mahasiswa, tentang metod analisis yang digunakan itu bukanlah menjadi persoalan yang besar. Dengan cara ini barulah mahasiswa dapat membina pendirian yang kukuh dan jelas dan tuntutan-tuntutan mereka. Sebagai contohnya apabila kita mahu mengkritik tentang dasar-dasar mengenai hak bumiputera, mahasiswa akan nampak seperti babi yang boleh bercakap apabila tidak melakukan sebarang analisis daripada aspek sejarah, kelas ekonomi, budaya dan lain-lain lagi.
Aku tertarik dengan satu tulisan Azura daripada Malaysia Muda bertajuk Aktivisme Siswa bukan Aktivisme Fantasial. Pada akhir tulisan ini beliau berkata ‘Melakukan kerja-kerja bawahan sahaja tidak cukup’ dan tanpa pemahaman (tentang penindasan, kekuasaan dan perjuangan) yang jitu akan melahirkan aktivis-aktivis dua muka yang tak sedar diri. Wahai adindaku Azura, menatang apa ni kau tulis? Tak faham kakanda apabila membaca dari Semporna, Sabah, tulisan ini.
Aku cuba faham tapi masih tidak faham. Jika Azura mahu mempersoalkan soal metod menganalisis, aku rasa lucu sebab pada tulisan yang sama dia begitu kagum dan mendapat analisis daripada seorang aktivis berusia 40 tahun di Penang yang tidak pernah masuk Universiti, dan hanya menjalankan kerja-kerja bawahan. Adakah dia mahu berkata aktivis berusia 40 tahun ini adalah ‘aktivis dua muka’?
Kalau Azura mahu mempersoalkan tentang metod yang digunakan untuk berjuang, maka tidak ada beza Azura dengan individu yang cuba dikritik sepanjang tulisan ini. Benarlah, aku sangat bosan untuk terlibat dan menghabiskan masa aku untuk perkara yang sia-sia seperti ini.
Jefry Musa
Pekerja Sosial anda.