Oleh: Syed Ahmad Fathi

Menarik membaca wacana perihal demokrasi yang ditulis oleh penganalisis politik, Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. Buku ini mendapat pujian dari Henry Kissinger yang merupakan salah seorang arkitek perang Vietnam, Samuel Huntington pengasas teori Clash of Civilization yang merupakan batu asas di sebalik kempen perang Amerika selepas Perang Dingin, juga dipuji oleh Bernard Lewis antara pemikir Orientalis terkenal. Jadi tidak pelik jika buku ini dipenuhi oleh ideologi American Exceptionalism.

Walaupun buku ini politikal, tidak bermakna ia tidak mempunyai sumbangan langsung terhadap pemikiran dan intelektualisma. Antara kejayaan buku ini adalah pengenalan garisan pemisah antara demokrasi dan perlembagaan liberal. Zakaria menjelaskan salah faham berkenaan dengan makna demokrasi yang sering dikaitkan dengan liberal demokrasi acuan Barat.

Sebaliknya demokrasi boleh wujud tanpa nilai liberalisma, seperti kebanyakan negara pada hari ini. Dimana proses pemilihan kerajaan digunakan proses demokrasi, tetapi dalam bentuk pemerintahan masih mengekalkan sistem monarki dan institusi-institusi lama, bahkan polisi-polisi yang tidak terbuka dan afirmatif.

Bentuk demokrasi liberal Barat menurut Zakaria bukanlah berasal dari Yunani Kuno seperti tanggapan kebanyakan manusia. Pembunuhan Socrates sebagai contoh, adalah berdasarkan undi demokratik, ia demokratik tetapi tidak liberal. Sejarah liberalisma Barat bagi Zakaria bermula apabila pemerintahan Roman, Constantine pada tahun 324 bertindak menukar ibu negara Empayar Roman dari Rome ke Byzantium, beliau membawa keseluruhan pemerintahannya kecuali gereja. Akibatnya Gereja Rome menjadi institusi yang kuat dan terpisah dari kerajaan Byzantium, ia menjadi pengimbang kuasa yang melahirkan lebih banyak kebebasan.

Bagi sesuatu masyarakat demokratik berdiri dengan stabil, ia mestilah dimulakan dengan ekonomi yang stabil. Zakaria dalam hal ini memuji kapitalisma, yang baginya merupakan enjin penghasilan masyarakat middle-class secara beramai-ramai. Keberadaan kelas pertengahan dan kestabilan ekonomi merupakan pra-syarat keberhasilan demokrasi menurutnya. Teori ini mungkin tidak banyak bezanya dengan naskah-naskah penulisan kiri yang menjadikan kekayaan material hasil dari industri kapitalis sebagai pra-syarat untuk kelahiran sistem sosialis.

Buku ini tidak hanya berbincang perihal sejarah, ia juga mendokumentasikan pendemokrasian yang berlaku di sekeliling kita, di luar konteks politik, negara dan pemerintahan. Bagaimana pendemokrasian media hasil dari teknologi baru memusnahkan media percetakan lama. Bagaimana pendemokrasian mengubah budaya di mana seorang artis itu dinilai dengan seberapa banyak follower, like, dan orang yang berkongsi hasil usaha mereka. Bagaimana pendemokrasian dalam struktur-struktur industri termasuk bidang-bidang professional seperti doktor, akauntan, dan peguam.

Proses demokrasi tidak semestinya menghasilkan natijah yang baik, disebabkan itu Zakaria berpendapat bahawa perlu ada institusi-institusi yang tidak demokratik yang mengimbangi dan mengawal perubahan demokrasi. Hitler sebagai contoh, dipilih melalui pemilihan yang demokratik, oleh itu kita sentiasa harus berhati-hati sebelum meletakkan iman kita sepenuhnya pada demokrasi. Hakikatnya demokrasi hanyalah sistem, alat yang dicipta manusia dalam memilih pemerintahan. Natijah pemilihan itu akan memanifestasikan apa yang ada di dalam masyarakat sedia ada. Oleh itu perubahan yang stabil dan mampu bertahan adalah perubahan dalam masyarakat, perubahan di setiap akar umbi, apabila baik massa ini, maka baiklah pemerintahan yang bakal dipilih melalui sistem yang kita wujudkan.

Tatkala kita cuba memahami keadaan dunia pada hari ini yang masih dipenuhi dengan peperangan, kebuluran, dan pergelutan politik, wacana Fareed Zakaria ini sedikit sebanyak akan membantu kita melihat dunia dalam kacamata yang lebih kritis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *