Oleh: Syed Ahmad Fathi
Jika anda menguruskan laman sesawang (website) anda sendiri, ada satu kekhuatiran yang akan anda rasai. Satu hari nanti, apabila domain anda telah tamat tempoh, website anda dan segala isi kandungannya akan hilang dari alam maya, tidak dapat dicari lagi, segala kerja yang anda dokumenkan, segala tulisan, tidak akan lagi dapat ditatap oleh generasi baru. Jika ia adalah satu kumpulan ilmu, ia tidak boleh dikembangkan dan ditambah oleh generasi baru, sebaliknya mereka perlu membina semula gagasan ilmu itu dari bawah. Disini datangnya keperluan mengarkibkan hasil kerja yang diterbitkan di alam maya (online). Bukan sahaja website, tetapi juga posting di blog boleh diarkibkan untuk tujuan rujukan generasi akan datang sekiranya pautan itu telah luput, domain tamat tempoh, atau syarikat yang mengurus data anda telah jatuh bankrap.
Proses mengarkib dan mengumpul khazanah keilmuan ini bukan merupakan satu perkara baru, ia telah wujud sejak zaman silam lagi. Antara institusi tua yang menjadi pusat pengumpulan khazanah ilmu adalah Perpustakaan Alexandria yang merupakan cabang kepada pusat penyelidikan yang lebih besar yang dikenali sebagai Mouseion di Mesir yang diasaskan sekitar 285-246 BC dan dianggarkan menyimpan 40,000 hingga 400,000 manuskrip. Ia menyimpan karya-karya zamannya yang dianggap silam hari ini, juga karya-karya silam bagi zamannya. Perpustakaan ini, mengikut lagenda, terbakar kali pertama dalam perang saudara ketika Julius Caesar dikepung di Alexandria, ia kemudian musnah dan hilang sepenuhnya ketika bermulanya zaman empayar Roman apabila Raja Aurelian menawan kota tersebut. Namun disebabkan tidak banyak rekod yang terselamat dari zaman tersebut, pengkaji kontemporari seperti Colin Higgins dari Universiti Cambridge meragui kewujudan perpustakaan Alexandria. Baginya ia lebih kepada lagenda dan simbol pengumpulan ilmu manusia berbanding sejarah objektif.
Namun perpustakaan Alexandria bukanlah perpustakaan terakhir yang musnah dibakar akibat perang. Sepanjang sejarah manusia, perpustakaan adalah salah satu mangsa peperangan antara ketamadunan apabila satu tamadun ingin memadamkan tamadun lain untuk mengeratkan cengkamannya. Barbara Tuchman dalam bukunya The Guns of August menceritakan bagaimana perpustakaan ikonik Belgium di Louvain dibakar oleh tentera German pada Perang Dunia Pertama, pembakaran ini menaikkan kemarahan dunia kepada German dan meyakinkan Eropah akan keganasan dan kejahatan German. Alexandria dan Louvain mengajar kita satu pengajaran, bahawa perpustakaan mudah terbakar dan melenyapkan keilmuan yang dikumpul.
Menyedari hakikat ini Brewster Kahle, seorang jurutera computer berusaha mewujudkan perpustakaan yang tidak boleh dibakar oleh Julius Caesar, Raja Aurelian atau tentera German. Selepas memenangi loteri dengan menjual Alexa kepada Amazon sebanyak 250 juta USD beliau mengembangkan Internet Archive yang diasaskannya pada tahun 1996. Beliau mengarkibkan kira-kira 1,000 buku sehari dan kini menyimpan bukan hanya 200,000 buku digital, tetapi juga 100,000 rekod konsert, dan 700,000 filem. Semua ini boleh diakses secara percuma. Selain itu beliau juga membolehkan orang awam mengarkibkan web dan blog mereka melalui Wayback Machine secara percuma. Laman yang telah diarkibkan ini akan kekal di internet untuk generasi akan datang meskipun domain asal telah luput atau URL asal telah dibuang, dengan mengarkib, laman tersebut akan disimpan secara kekal.
Antara sumbangan besar Kahle dalam mengarkibkan internet ini adalah memudahkan urusan rujukan dan petikan. Saya masih ingat semasa membuat kajian dahulu, laman web merupakan rujukan yang lemah, bukan sahaja kerana kebanyakannya tidak mempunyai kawalan editorial yang menjamin kesahihan dan kualiti, ia juga tidak kekal dan mudah hilang. Dengan mengarkib, kelemahan ini dapat sedikit diperbaiki. Hari ini petikan dari web dalam kajian bukanlah sesuatu yang asing lagi. Format petikan seperti APA, MLA dan Harvard juga mengeluarkan garis panduan untuk memetik bahan internet sebagai rujukan kajian, malah hari ini bukan sahaja artikel di web atau blog boleh dipetik, tetapi juga hantaran di Facebook dan Twitter.
Ini adalah satu perkembangan yang tidak dapat ditolak lagi hari ini, menghadkan petikan hanya atas bahan terbitan fizikal bukan sahaja melambatkan progres sains, ia juga menghadkan bahan kajian. Cara kita merekod ilmu juga kini banyak beralih kepada medium digital. Sementara bahan fizikal seperti buku masih wujud dan dapat bertahan ke hari ini, perpustakaan digital Kahle yang merupakan Alexandria 2.0 yang memberi ilmu lebih peluang untuk bertahan jika saudara fizikal mereka dibakar. Kali ini Kahle ingin memastikan Julius Caesar tidak dapat membakar Alexandria lagi.