Oleh: Syed Ahmad Fathi

Dalam perbahasan Yuval Noah Harari dalam bukunya yang menceritakan sejarah manusia, beliau menyatakan salah satu masalah saintis untuk membentuk semula kehidupan masyarakat primitif zaman batu (lebih tepat zaman kayu kerana alatan yang digunakan lebih banyak kayu dari batu) adalah sangat sedikit artifak sejarah yang berjaya terpelihara. Kebanyakan alatan kayu yang digunakan terurai dan musnah, tidak sampai ke zaman ini untuk dikaji. Ini berbeza dengan zaman moden, dimana setiap tingkah laku kita meninggalkan artifak yang sangat banyak. Aktiviti manusia untuk makan misalnya, meninggalkan artifak kecil seperti pinggan, sudu, dan garfu hinggalah ke artifak yang besar seperti kapal untuk menangkap ikan di laut dalam sebesar ratusan metrik tan.

Zaman moden ini membolehkan manusia menghasilkan makanan dengan skala yang tidak dicapai oleh zaman sebelumnya. Segalanya kini dihasilkan dalam skala industri, baik dalam sektor perladangan, tanaman, hingga ke pemprosesan makanan. Kita terlalu produktif sehingga banyak makanan ini tidak berakhir di mulut-mulut manusia tetapi di timbunan tempat pembuangan sampah.

Saya masih ingat ketika saya membesar di Kuala Lumpur, boleh dilihat bukit timbunan sampah di Kepong yang menjadi tempat perlupusan sisa pepejal. Permandangan timbunan sampah yang dihasilkan di Lembah Klang yang menjadi seperti bukit kecil itu melekat di dalam minda saya sehingga ke hari ini. Ia menjadi simbol bagi saya bertapa banyaknya sampah yang dihasilkan manusia.

Saya pernah menulis tentang sisa plastik, dimana saya tidak mempercayai solusi perlupusan plastik adalah dengan amalan kitar semula, ini bagi saya merupakan satu mitos, sebaliknya ia perlu dihentikan dari puncanya, iaitu pembuatan plastik itu sendiri, dan beralih kepada material lain yang boleh terurai. Yang mana teknologinya telah wujud, ia masalah political will bukan masalah teknologi. Tetapi untuk penulisan kali ini saya ingin memfokus tentang sampah yang boleh terurai dengan mudah, iaitu makanan.

John Oliver pernah membawakan isu ini dalam siri satira beliau. Di Amerika kira-kira 40% makanan yang dihasilkan tidak pernah dimakan. Ironinya walaupun kita sangat efisien menghasilkan makanan, dan kita membuang sebahagian besar dari makanan yang kita hasilkan, terdapat banyak keluarga yang masih hidup kelaparan. Walaupun kita tidak mengetahui peratusan makanan yang dibuang di Malaysia, namun apa yang pasti kita juga membuang banyak makanan. Lihat sahaja apa yang ada di pusat-pusat buangan sampah kita, atau mungkin tong sampah kita sendiri. Pengumpulan sisa makanan yang banyak ini juga mempunyai kesan buruk terhadap alam sekitar, jika makanan reput dalam proses biasa tiada apa yang perlu dirisaukan, tetapi makanan yang terperangkap di tempat pembuangan sisa akan mereput melalui sistem anaerobik yang menghasilkan gas metana yang menyumbang kepada pemanasan global.

Antara cara-cara kecil kita boleh mengurangkan pengumpulan sisa makanan di tempat pembungan sampah adalah dengan menyalurkannya ke tempat lain. Antara cara yang saya gemari adalah saranan pakcik Mark dari Self Sufficient Me, dari pada membuang sisa makanan, pakcik Mark akan menanamnya di kebun kecilnya. Selain dapat mengurangkan sisa pepejal, dia juga dapat menambah nutrien pada tanah kebunnya.

Baru-baru ini saya dapati ada sebuku kek mentega di dalam bakul sampah rumah saya. Saya perasan ia adalah kek yang diberi oleh jiran semasa hari raya. Namun kerana kami sudah mempunyai banyak makanan, kek itu dibiarkan sahaja di meja depan tidak berusik. Mungkin sudah beberapa hari jadi ahli rumah membuangnya ke dalam tong sampah. Saya ambil kek tersebut, ternyata ia tidak punya apa-apa kecacatan, masih elok dan boleh dimakan, tiada kulat, dan baunya masih segar. Bayangkan petani yang bersusah payah menanam gandum, pekerja kilang yang membuat mentega, pekerja kedai roti yang membuat kek, semua usaha mereka melahirkan kek yang akhirnya tidak dimakan dan terus ke tong sampah. Jadi saya cubit kecil-kecil dan saya taburkan kepada burung merpati yang selalu singgah di depan rumah, dari kek tersebut menjadi longgokan sampah lebih baik ia menjadi rezeki burung.

Terdapat banyak lagi cara untuk memastikan makanan kita tidak dibazirkan. Di MIT sebagai contoh, jika ada ahli bangunan yang mempunyai lebihan makanan, mereka boleh meletakkannya di satu meja di mana terdapat satu kamera yang dipanggil FoodCam yang akan mengambil gambar makanan tersebut dan secara automatik menghantar gambar tersebut kepada semua orang di dalam bangunan tersebut untuk memastikan makanan tersebut dimakan. Malah ada organisasi yang diwujudkan untuk ‘menyelamatkan’ makanan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Terserah kepada kita untuk berkreativiti dalam menyelesaikan masalah ini, tetapi kita haruslah memainkan peranan untuk memastikan kita makan apa yang kita beli dan hasilkan agar kita dapat mengelakkan masyarakat dan negara kita menjadi masyarakat dan negara yang membazir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *