Oleh: Aliaa Alina

Malam itu kami semua bersiaga di kawasan Dataran Merdeka untuk mengawasi demonstrasi jalanan. Suasana malam diterangi cahaya lampu sorot dan sekumpulan pasukan FRU berbaris panjang di hadapan dataran. Tidak ramai yang menyertai perhimpunan itu. Kebanyakan demonstran datang dari kawasan sekitar ibu negara manakala manusia lain terperuk di dalam rumah terhalang dek wabak.

Seperti kebiasaan, kami resah mengawasi para demonstran berarak membawa sepanduk dan plakad protes. Mereka menulis kata-kata yang begitu rencong terhadap kerajaan, kemarahan dirasai walaupun dalam sebaris ayat. Dalam kalangan demonstran, kami memperhatikan kelakuan seorang lelaki kurus berjambang yang aneh. Tiada plakad kemarahan yang dibawa bersamanya pada malam itu, sebaliknya dia memegang sebuah balang berisikan air. Kami melihat ada sekuntum bunga kemboja putih terapung bersama seekor ikan kaloi di permukaan air.

Kami terleka memandangnya dan tiba-tiba sahaja kekecohan berlaku dan dalam sekelip mata sahaja, beberapa batang tubuh bergulingan di jalanan. Lelaki berjambang itu tetap tenang dalam kekacauan, tiada kemarahan yang dihamburkan. Sebaliknya dia berdiri ditengah dataran dan menjulang tinggi balang berisi ikan kaloi untuk dilihat para hadirin pada malam itu.

Melihat kelakuan itu membuatkan kami tidak sedang duduk memikirkan makna di sebalik kelakuan itu. Bersama demonstran yang luka lebam di muka, lelaki berjambang itu turut dibawa bersama ke balai. Tanpa berlengah lagi kami bertanya, mengapa dia membawa seekor ikan kaloi pada malam sanggahan. Dia enggan menjawab lalu kami bertanyakan pula perihal keluarganya.

“Saya mempunyai seorang isteri. Dia sedang sarat mengandung,” balasnya ringkas.

Jadi kami bertanyakan tentang keberadaan isterinya.

“Isteri saya terkena wabak itu, tuan. Dia sudah dibawa ke hospital pada minggu lepas dan saya diberitahu dia sudah bersalin. Kami mendapat seorang bayi perempuan dan juga seekor ikan kaloi dalam kelahiran itu.”

Kami hairan mendengar kisah itu, seumpama mendengar kisah dongeng Bidadari keluar dari mulut lelaki berjambang. Namun, rasa ingin tahu yang begitu mendalam, kami meneruskan juga perbualan ini.

“Isteri saya sudah pun mati kerana komplikasi wabak ketika bersalin,” katanya suram menjawab persoalan kami.

Kami bertanya pula keberadaan bayi perempuan, adakah bayi itu turut dijangkiti wabak seperti ibunya?

“Saya tidak tahu tuan. Doktor tidak membenarkan saya menemui bayi itu selepas kelahirannya. Sebaliknya, doktor hanya memberikan ikan kaloi ini untuk dibawa pulang ke rumah.”

Entah mengapa timbul simpati di hati kami, lalu kami memberikan janji untuk membawanya ke hospital untuk berjumpa anak itu kelak. Terus sahaja lelaki berjambang itu menangis apabila mendengar janji itu.

“Tetapi tuan, saya takut untuk ke hospital. Senja ini, apabila saya pulang dari kerja, ikan kaloi ini sudah pun mati.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *