Oleh: Jefry Musa
Perubahan sosial tidak datang dengan satu fomula dan jalan yang tetap. Sudah menjadi hukum ilmu sosial 1 + 1 tidak semestinya 2, mungkin 1 dan + itu pun boleh jadi salah.
Banyak fenomena sosial tidak mampu untuk ditentukan mengunakan kaedah sains alam atau tulen, pernah di satu sudut aku percaya malapetaka yang paling teruk pada ilmu sosial adalah bila ia disenyawakan dengan sains.
Walaupun kini, diketahui sains pada sosial dan sains pada alam itu merupakan dua perkara yang berbeza. Namun ramai yang terjun ke ruang ini masih tidak faham, mereka merancang dan menetapkan kaedah ini perlu digunakan jika tidak yang lain adalah salah.
Mangsa terbaru pada ketidakfahaman ini adalah apabila kerajaan negeri Sabah mengumumkan pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS) buat 100,000 pelarian disini.
Sains bagi seorang pemimpin politik di sini adalah undi, mereka perlu menari mengikut rentak pengundi. Jika pengundi mahu mereka jadi badut dan bodoh, mereka perlu selalu menjadi badut dan selalu memberi kenyataan-kenyataan yang bodoh untuk menaikkan populariti. Akhirnya mereka akan salahkan pengundi,
“Kami tahu PSS ini bagus, tapi pengundi Sabah menolak PSS, jadi kami batalkan.”
Idea-idea Zizek tentang konsep pemerintahan menjadi sangat dekat dengan aku soal ini. Baginya (dalam bahasa yang lebih kejam) kemanusiaan itu bagus tapi 99% manusia adalah bodoh dan membosankan.
Kenapa?
Sedar tidak sedar pendekatan dan cara pandang yang digunakan oleh kerajaan negeri Sabah langsung tiada beza dengan pendekatan daripada kawan aktivis yang menyokong atau menolak PSS, kita mahukan ‘demokrasi’ sepenuhnya, perubahan daripada bawah atau rakyat. Hari ini ‘demokrasi’ ini juga yang digunakan dan menjadi alasan buat kerajaan membatalkan PSS.
“Jadi kenapa kita masih/perlu marah?”
Pada sudut inilah kita terperangkap dengan logik kita sendiri. Kita rigid dan tidak kritis dengan batas-batas demokrasi dan kita langsung tidak faham dengan sistem yang kita huni ini. Ketidakbebasan yang paling bahaya adalah bila kita fikir dan percaya kita sebenarnya bebas.
Sistem perhambaan dunia terhapus semua dengan ‘paksaan’ pemerintah melalui dasar dan perundangan. J.W.W Birch tidak dibunuh bila menguasai Perak tapi apabila mula cuba menghapuskan sistem perhambaan. British perlu membayar pampasan selama 182 tahun bagi tuan-tuan membebaskan hamba. Jika kita menuntut persetujuan majoriti untuk menghapuskan perhambaan, mungkin sehingga kini masih ada manusia menjadi hamba.
‘Paksaan’ ini perlu ada dahulu baru kesedaran dan hikmah itu akan hadir. Itulah yang dimaksudkan oleh Zizek, tidak semua orang dapat atau mahu menguasai/memikirkan semua benda termasuk aku. PSS atau membebaskan penindasan pada pelarian/stateless/pekerja asing ini tidak mampu diselesaikan dengan pendekatan ‘demokrasi’. Kerana sesuatu penindasan yang telah disistemkan menjadi budaya, kebenaran bukan lagi pada angka.
Tapi hari ini kebenaran dan kemanusiaan itu terletak pada jumlah yang teramai. Aktivis terperangkap dan lupa peranan mereka bukan sahaja sebagai agen pendesak tapi pencerah. Politikus lupa peranan mereka untuk mendidik dan bertindak pada kebenaran.
Akhirnya,
99% orang yang disalahkan, pelarian kekal derita menjadi mangsa.