Oleh: Syed Ahmad Fathi

Apa itu buku? Mungkin objek pertama yang kita boleh katakan sebagai buku mungkin adalah Mesoamerica Codex pada tahun 1,000 AD, yang merupakan kumpulan helaian kertas yang dicantum bersama. Atau mungkin kertas-kertas yang pertama kali dicipta oleh tamadun purba China. Tapi sejarah pembukuan pertama kalinya direvolusikan oleh Johannes Gutenberg pada pertengahan abad ke-15. Revolusi percetakan yang dibawa oleh Gutenberg menghapuskan monopoli kaum elit terhadap buku, yang selama ini hanya dimiliki oleh golongan elit dan paderi. Namun teknologi ini masih tidak membolehkan penghasilan buku seperti industri yang kita ada hari ini. Pencetakan dilakukan dengan menyusun type besi yang ditekan (press) keatas kertas. Ia adalah proses yang sukar. Buku juga dihasilkan dalam bentuk kulit keras yang besar, tidak mudah untuk di bawa kemana-mana.

Bermula pada awal abad ke-19, percetakan mula masuk ke fasa baharu. Dengan pengenalan mesin percetakan yang menggunakan engin wap, kilang kertas, type setting automatik, dan kemudahan pengangkutan seperti laluan kereta api. Buku kini boleh dihasilkan dengan murah, dalam bentuk yang lebih kecil dan ringan. Perkara ini dimulakan oleh Syarikat Routledge & Sons dan Syarikat Ward & Lock yang menghasilkan buku dalam bentuk paperback untuk kegunaan pembacaan pengguna penumpang kereta api. Ia kemudian merebak ke seluruh dunia. Pada tahun 1939, Robert de Graaf berkerjasama dengan Syarikat Simon & Schuster untuk mencipta label Pocket Books, terma “pocket books” adalah sinonim kepada paperback bagi pembaca Bahasa Inggeris di Amerika Utara.

Buku paperback dan bersaiz poket ini merevolusikan pembacaan. Jika dahulu membaca buku perlu ke perpustakaan dan duduk lama diatas kerusi dengan buku besar dan tebal diletakkan di atas meja, kini buku boleh dibawa ke mana-mana. Boleh diletakkan di dalam poket dan beg, boleh dibaca dalam perjalanan dan tidak perlu duduk lama di perpustakaan. Revolusi ini bukan sahaja membolehkan buku menaiki kereta api, buku juga pergi ke medan perang.

Molly Guptill Manning menulis sebuah buku yang bertajuk When Books Went To War. Sewaktu Perang Dunia Kedua, penerbit buku di Amerika ingin membantu pihak tentera, mereka mengambil keputusan untuk mencetak buku paperback bersaiz poket supaya askar dapat membawanya kemana-mana. Mereka mencetak pelbagai buku dari buku tulisan Charles Dickens hinggalah ke William Shakespeare. Buku-buku ini bukan sahaja menjadi peneman kepada askar ketika mereka berasa sunyi, terdapat banyak kisah dimana buku-buku ini membantu askar yang sedang bertarung di medan perang ini merenung kehidupan. Contohnya kisah seorang askar yang terkena serangan malaria, ketika di wad dia meminta sebuah buku untuk dibaca. Jururawat tersebut memberinya naskah buku A Tree Grows in Brooklyn. Buku tersebut menyebabkan askar tersebut ketawa dan menangis, dan baginya air mata yang keluar itu adalah bukti bahawa dia telah menjadi manusia semula, bukan sekadar seorang askar.

Hari ini kita melihat revolusi baru. Dari perkataan yang ditulis di papan, kepada buku kulit keras, kepada buku paperback bersaiz poket, hari ini buku telah direvolusikan ke bentuk digital, boleh dibaca dalam talifon bimbit dengan format ebook atau Kindle. Sepatutnya revolusi ini membuatkan kita meninggalkan buku-buku fizikal baik yang berkulit keras atau berbentuk paperback. Namun kelihatannya, ditengah-tengah revolusi digital ini, kita melihat buku paperback masih mendominasi pasaran dan tidak mahu menyerah kalah, tidak mahu dikambus ke dalam timbunan sejarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *