Oleh: Wan Shakila

Perubahan fizikal bentuk badan dan emosi termasuklah kematangan pemikiran telah menetapkan manusia ini kepada beberapa kelompok mengikut pecahan umur tertentu; seperti kanak-kanak, dewasa dan golongan tua, ataupun sesetengah daripada kita menggelarkan mereka warga emas. Setiap kelompok ini sebenarnya saling melengkapi di antara satu dengan yang lain, baik dari segi tanggungjawab dan peranan, mahupun keperluan emosi dan perasaan.

Pun begitu, sarat dan sibuknya hidup kita, kabut dan tenggelam punca telah menyebabkan kita menjadi insan yang tidak peka dan sensitif kepada persekitaran, termasuklah manusia yang lain. Maksudnya di sini, ramai dalam kalangan kita yang hidup dengan diri sendiri tanpa memberi peranan kepada orang lain yang menyebabkan kita menjadi seorang yang bersifat individualistik. Kita menjadi tidak acuh dengan keperluan sekeliling, terlalu mengutamakan keuntungan diri sendiri dan sehinggalah mencapai tahap tidak sedar akan fungsi setiap kelompok yang disebutkan seperti di atas.

Manusia yang bersifat individualistik ini cenderung untuk memikirkan hal diri sendiri mengatasi masyarakat akan melahirkan individu yang bersikap pukul rata dan men-generalisasikan sesebuah kelompok tanpa mempunyai inisiatif untuk memahami apatah lagi menyelami faktor sosial seseorang itu.

Hal seperti ini jelas sekali tidak sihat. Bagaimana sesetengah pihak galak berteriak bahawa kita menuju ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni sekiranya kita tidak saling melengkapi?


Dewasa dan Kanak-kanak

Kanak-kanak ialah mereka yang berusia di bawah 18 tahun, maka umur melebihi angka tersebut ialah dewasa. Sebagai seorang yang dewasa, adakah pernah kita peduli bahawa wujud sebenarnya golongan kanak-kanak ini? Pernah kita terfikir, siapa sebenarnya kanak-kanak ini? Apa yang kita perlu lakukan terhadap kanak-kanak? Bagaimana sebenarnya cara yang baik untuk berurusan dengan mereka? Pentingkah kanak-kanak dalam dunia ini?

Ya, kita tahu mereka itu kecil, golongan yang lemah dan naif, masih muda dan mentah, perlu belajar dari tadika ke sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, kemudiannya masuk universiti atau hiduplah dengan mencari kerja, mula kenal dunia – ini yang kita tahu tentang kitaran hidup seorang kanak-kanak. Mari kita telusuri hal lain pula, apa yang kita sedar tentang kelompok ini? Iyalah, tahu dan sedar itukan hal yang berbeza.

Kanak-kanak sebenarnya lebih daripada apa yang kita fikirkan. Mereka golongan yang unik dan bijak, sebenarnya. Jika tidak percaya, saya sarankan anda untuk mengadakan perbincangan secara mendalam (deep conversation) dengan mereka. Janganlah harapkan sesuatu yang berlebihan, memang mereka tidak akan memberi jawapan yang berlandaskan sesuatu teori cabang ilmu. Sekurang-kurangnya wahai orang dewasa sekalian, anda akan menemukan sebuah jawapan yang jujur dan telus dari seorang kanak-kanak yang secara semulajadinya tidak bersifat menghukum dan bias. Anda boleh bermula dari hal yang sekecil-kecil perkara, misalnya warna tudung apa yang sesuai dipakai dengan baju ini sehinggalah meminta pendapat mereka mengenai hal-hal yang berat, tetapi perbualan dilakukan dalam suasana yang santai.

Lama-lama, anda sebagai orang dewasa telah mewujudkan sebuah ruang lingkup yang mengiktiraf kanak-kanak dalam sesebuah situasi; anda maklum dengan wujudnya mereka malahan anda hargai mereka dengan bertanyakan pendapat dan melayan mereka seperti orang dewasa juga. Ruang lingkup seperti ini wujud sebagai tanda kita hormat mereka, sama seperti orang lain.

Saya lihat perkara ini jarang kita lakukan dengan kanak-kanak. Kita cenderung untuk mendoktrin budaya dan pemikiran seperti ‘jangan dengar orang tua berbual’, ‘jangan menyampuk’, ‘jangan banyak tanya’ dan banyaklah ‘jangan’ lagi. Itu belum termasuk kita pandang rendah terhadap pandangan, suara dan pendapat mereka dalam sesuatu hal, sehingga boleh capai tahap ‘tak perlu percayakan dia sebab dia budak-budak – maka dia tidak tahu apa-apa’.

Benar, sebagai seorang dewasa kita bertanggungjawab untuk membimbing dan beritahu mereka, hal ini betul dan perkara ini salah. Kadang-kadang kita lupa bahawa mereka juga adalah manusia. Mereka ada hak untuk dilayan seperti kita manusia biasa. Kenapa kita orang dewasa membuatkan keputusan untuk mereka, berbanding memberi mereka pilihan? Mengapa kita orang dewasa terus menganggap mereka tidak layak bersuara sedangkan kita lupa, itu adalah proses bagi mereka?


Didik atau Ajar?

Kanak-kanak adalah makluk ciptaan tuhan yang kreatif dan kita memerlukan cara yang kreatif untuk mengendalikan mereka.

Pasti bingung bukan, apa yang perlu dilakukan kepada kanak-kanak ini? Semulajadinya, kita mahukan yang ‘terbaik’ untuk mereka (saya letakkan ‘’ kerana kita yang menetapkan definisi terbaik itu, bukan kanak-kanak). Kita perlu jadikan mereka ini apa bila dewasa, mahu akhlak mereka berbentuk bagaimana sehinggakan mungkin, jodoh apakah yang ‘baik’ untuk mereka.

Tenang, wahai orang dewasa.

Tidak perlu tergopoh-gapah untuk menetapkan mereka itu dan ini, sebaliknya kesedaran yang paling utama ialah kita cuma perlu tunjuk sahaja. Kanak-kanak adalah golongan pemerhati yang terbaik. Cara mereka bertindak dan bercakap adalah mimik dari kita, orang dewasa. Terlalu subjektif untuk kita tetapkan cara didikan yang betul atau kaedah ajar yang tepat. Sedangkan, dalam sebuah keluarga misalnya yang mempunyai 4 orang anak, cara setiap anak itu dididik juga berbeza. Anak sulung mungkin lebih sifatnya berdikari, berbeza dengan anak bongsu yang perlu lebih bimbingan, tetapi masih – umumnya, sebagai seorang dewasa, kita perlu tunjuk hal-hal yang baik dan beri mereka hak untuk membuat pilihan.


Kecil Tapi Berkuasa

Pernah kalian menonton rancangan Little Big Shot? Secara peribadi, itu ialah rancangan kegemaran saya yang wajar diperbanyakkan di setiap negara – rancangan televisyen yang memancarkan kanak-kanak yang berbakat sebagai watak utama. Mereka mempunyai kepelbagaian, mampu menceritakan nyala rasa dengan baik dan sememangnya mengagumkan.

Pernah ke Kidzania? Sebuah tempat yang bagus untuk membina cita-cita kanak-kanak. Mereka mampu untuk melakukan pekerjaan yang mereka inginkan secara berdikari, kerana pihak pengurusan tempat itu sendiri yang menetapkan peraturan bahawa orang dewasa tidak boleh ikut campur dalam aktiviti kanak-kanak.

Tuntasnya, saya ingin mengajak anda semua supaya menyedari wujudnya golongan yang kecil tetapi berkuasa ini. Kanak-kanak sebenarnya boleh lakukan lebih banyak dari kita fikir. Cuma kita sahaja yang meletakkan limitasi untuk mereka bergerak dan berfikir, kita yang menetapkan apa yang mereka perlu percaya dan patuhi tanpa memberi mereka ruang dan peluang untuk memilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *