Oleh: Hidayu Hatta
Hari ni anak-anak sukaneka buat kali pertama. Senang masing-masing menconteng warna di wajah sebagai tanda kumpulan- merah, biru, kuning, hijau. Warna-warna yang tak pernah dikenal sebagai rumah sukan.
“Cikgu, ada main lumba lari ka hari ni?”
Anak-anak umur sekitar 15 dan 16 tahun mengulang soalan ini sudah entah ke berapa kali. Betapa terujanya.
Sebenarnya ini idea Eqha. Eqha datang dengan bermacam-macam idea – tak macam kepala saya yang dah beku dan buntu – seperti ya, salah satunya adalah sukaneka. Tak juga kami berfikir sebelumnya yang anak-anak ini belum pernah mengalami peristiwa klise seperti sukaneka.
Tapi perjalanan hari ini adalah kejutan. Anak-anak langsung tak diberitahu tentang hari ini. Baru pagi tadi cikgu-cikgu tunggu di depan kampung untuk beritahu supaya masing-masing pakai baju putih dan seluar hitam. Tak banyak alasan, semua berlari-lari seronok mahu ikut sukaneka.
Jam 9 pagi, kita sudah sama-sama berjalan di atas titi-titi kayu yang merentang, ke sebuah tempat pembebasan yang sedikit lebih luas daripada tempat kita merdeka setiap hari mengenal ilmu. Matahari bambang di langit, teriknya menggigit. Tapi tak ada sesiapa memohon lazuardi yang tenang atau awan stratus putih menggebu di kepala kami. Masing-masing mungkin lupa definisi panas meski langit putih dan mata kita sama-sama picing di tengah padang main yang renta. Ya, tak banyak yang tidak renta di bumi Semporna. Tapi kita sudah melihat sekolah tidak berbumbung, tadika yang tidak berelektrik bertahun-tahun, dan laut yang meriah dengan sampah-sampah.
Sebuah negeri yang tertindas dan ditinggalkan. Tapi di kawasan sini, apakah lagi yang boleh lebih menggambarkan erti penindasan atau selamat tinggal? Kampung-kampung atas air yang terkandas sekurang-kurangnya 50 tahun di belakang Malaysia. Hal-hal hak sudah menjadi retorik politik. Hal-hal pembebasan belum sampai ke cuping telinga manusia-manusia senegara yang megah dengan konsep kemanusiaan dan ketuanan. Apa-apapun, anak-anak undocumented ini – yang ada baru pertama kali boleh merasai nikmat sekolah selama dua minggu – hari ini memaparkan kita gelagat-gelagat yang istimewa. Iya, terlahir dalam sebuah komuniti yang dikatakan gelap dan tidak punya harapan, saya menyaksikan semangat-semangat semulajadi selayaknya anak-anak. Tidaklah kita bilang mereka tersudut dalam gelap sesudah mengenal cahaya ilmu. Sosok-sosok kecil yang hari ini boleh menggugah persepsi dunia seandainya kita cukup peduli untuk ambil tahu; anak-anak ini yang tumbuh dengan budaya subur membuang sampah di laut sudah sama-sama saling mengemas padang permainan, yang selama ini dikenal kaki gaduh dan bergasak masing-masing menunjukkan semangat berpasukan dan kepimpinan (walaupun mengangkat penumbuk kiri tetap wajib ketika mengesan bau-bau ancaman dan penindasan).
Iya, sukaneka. Berapa banyak yang mereka belajar daripada cikgu berbanding sejuta pengajaran yang cikgu-cikgu telan daripada wajah-wajah polos yang tak minta banyak.