Oleh: Mohd Rosyaidi
Tulisan ini khas untuk semua rakan yang sedang berjuang untuk rakyat bawahan, buruh-buruh kasar dan kaum yang tertindas serta untuk mereka yang sedang aku tindas. Pertama dan utama adalah mohon maaf daripada diri ini. Tulisan ini juga bukanlah bersahaja untuk meraih simpati ataupun mengadu domba. Ini merupakan tulisan yang ikhlas daripada hati yang sedang menangis.
Maaf teman-teman. Sayang-sayangku yang sedang berjuang untuk rakyat bawahan, buruh-buruh kasar dan kaum tertindas, aku sedang menindas mereka, maaf. Mungkin alasan aku tidaklah kukuh dan tidaklah sekukuh alasan mengapa kamu memperjuangkan mereka. Sedang berada dalam kelompok melebihkan keuntungan semata-mata ini, aku melihat telah banyak penindasan-penindasan yang membuatkan aku juga tidak boleh memaafkan diri aku.
Dahulunya, kita sering saja berkata untuk berjuang demi mereka, tetapi secara hakikatnya apabila berada di situasi yang sebenar, aku akui, kata-kata juang yang selalu dilaungkan dulu hanyalah kata semata bukan dari lubuk hati. Sayang-sayangku, aku minta maaf kerana terpaksa terjun ke lembah ini, rela untuk sampai hati melihat mereka berada dalam kesusahan dan dipijak.
Walaupun hanya baru seketika berada di lembah ini, hatiku setiap hari selalu saja menangis melihat mereka bekerja sehingga kering keringat tetapi tidak mendapat balasan setimpalnya. Raih-raih mereka hanya boleh didengari sahaja, penat lelah mereka cuma mampu dilihat sahaja. Tiada lagi difikir semua itu, hanya menyuruh mereka bekerja untuk mendapatkan untung secara maksima. Semua mengenai keuntungan! Ya, aku sudah menjadi salah seorang kapitalis! Tulisan ini aku khaskan untuk sayang-sayang semua, berdiri di pendirian kalian, selamat untuk sentiasa berbicara tentang mereka. Hanya mampu mengucapkan selamat bekerja di setiap hariku di sini untuk mereka. Aku mendoakan Tuhan rahmatilah mereka. Surat cinta untuk kalian daripada Tuan Kapitalis.