TENTANG BORNEO KOMRAD
GERAKAN ANAK MUDA
Borneo Komrad merupakan organisasi inisiatif mahasiswa dan anak muda untuk membangun advokasi sosial seperti pendidikan, kebudayaan dan hak kemanusiaan. Terlahir hasil persetubuhan antara Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) UMS dan Suara Mahasiswa UMS, kita bercita-cita membangun sebuah gerakan mahasiswa yang mandiri dan pro rakyat kelas bawah.
2017, aktivis mahasiswa membuat keputusan untuk menyewa ruang pejabat (Rumah Kolektif) di luar universiti. Rumah Kolektif tersebut menjadi tempat untuk mahasiswa membangun idea dan melakukan gerak kerja.
Dari KARMA dan Suara Mahasiswa, dibangunkan Borneo Komrad untuk membuktikan gerakan mahasiswa serius membangun masyarakat di luar sana.
Kita juga membangun ekonomi mandiri dengan mengeluarkan karya dan produk sendiri. Borneo Komrad percaya tanpa pergantungan dengan mana-mana pihak berkepentingan kita mampu mengukuhkan prinsip dan fokus dengan agenda pro rakyat.
KARMA
Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) merupakan sebuah organisasi yang berdaftar secara rasmi di Universiti Malaysia Sabah untuk melahirkan mahasiswa yang membangunkan seni dan karya-karya kreatif.
SUARA MAHASISWA
Suara Mahasiswa merupakan gerakan yang memperjuangkan hak kebajikan mahasiswa dan masyarakat di luar. Gerakan ini juga merupakan gerakan yang mandiri dan tidak ditunjang oleh mana-mana parti politik.
GERAKAN BORNEO KOMRAD
WACANA DAN ADVOKASI
ANALISIS KELAS BAWAH
SEKOLAH ALTERNATIF
SENI DAN SASTERA
PEMBANGUNAN EKONOMI
WACANA DAN ADVOKASI
Tiga agenda utama dalam Borneo Komrad adalah ekonomi, intelektual (advokasi) dan kemasyarakatan. Intelektual dan advokasi adalah pembangunan pemikiran, ilmu, dan pendidikan. Acara-acara intelektual seperti diskusi, buku jalanan, apresiasi filem, apresiasi karya kreatif, falsafah dan sebagainya giat dijalankan di dalam dan di luar kampus bersama gerakan-gerakan mahasiswa yang lain.
ANALISIS KELAS BAWAH
Aliran perjuangan yang dibawa oleh gerakan mahasiswa Borneo Komrad berpaksikan analisis kelas bawah tanpa mencampur-adukkan pergerakan yang mempunyai kepentingan politik. Politik mahasiswa adalah politik kerakyatan yang tidak masuk dalam sekat-sekat kepentingan politik. Politik mahasiswa adalah politik nilai yang bergerak secara kritis dan mendendangkan aksi dan solusi. Politik mahasiswa tidak berfikir secara lima tahunan dan berkerja hanya untuk memerintah. Politik mahasiswa berfikir secara negarawan, peradaban dan kesejahteraan. Perubahan-perubahan yang berlaku di tanah ini dipandu oleh anak muda yang pro-kerakyatan. Oleh itu, gerakan mahasiswa seharusnya mencari semula identiti mahasiswa – yang haruslah lahir daripada keresahan-keresahan masyarakat kelas bawah.
SEKOLAH ALTERNATIF
Hasil daripada analisis kelas bawah, kita mendapati bahawa masalah dokumentasi dan kemiskinan di Sabah adalah masalah akar dari ribuan permasalahan di tanah ini. Terdapat ratusan ribu anak-anak tercicir daripada pendidikan. Oleh itu, kita muncul dengan aksi advokasi pendidikan di samping menyelesaikan masalah buta huruf, pembangunan sahsiah dan pemikiran ekonomi komuniti jangka masa panjang melalui sekolah-sekolah alternatif yang kita bangunkan.
SENI DAN SASTERA
Alat yang paling ampuh untuk penyatuan organisasi adalah seni dan sastera. Dengan seni dan sastera, kita mampu menyentuh rohani dan semangat persaudaraan. Di saat gerakan-gerakan lain menggunakan zikir-zikir agama untuk memandu gerakan, Borneo Komrad merai perbezaan agama dengan menggunakan seni dan sastera yang sememangnya terdapat dalam mana-mana agama dan etnik. Seni dan sastera membentuk jati diri dan merapatkan jurang perbezaan agama dan status sosial dengan manifestasi mesej-mesej kemanusiaan, dan penolakan kepada penindasan rakyat.
PEMBANGUNAN EKONOMI
Borneo Komrad serius dalam pembangunan ekonomi organisasi secara mandiri dan menolak kebergantungan kepada mana-mana pihak berkepentingan – demi keberlangsungan gerakan dalam jangka masa panjang. Kita mengetengahkan produk mahasiswa dan hasil kreatif yang digunakan untuk menjana ekonomi melalui keusahawanan.