Oleh: Naim Fahmi

Masalah Harakah, mereka ada editor yang lemah menyaring penulisan. Masalah penulis-penulis propaganda ini pula, mereka kurang kefahaman Sains Politik, kurang membaca dan daya intelektual yang lemah menyusun logik ayat.

Maaflah kalau agak panjang, saya sedikit bersemangat, overdose kafein Mandheling sebelum imsak. Mari kita cerakinkan masalah satu perenggan ini sahaja.

Pertama, mereka ada masalah mengenali kelompok apabila telah menulis ‘Liberalis Komunis’. Dalam sejarah politik dan sains politik, tak wujud ideologi ‘Liberalisme-Komunisme’. Tidak ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang ada ideologi itu.

Yang ada dalam sejarah, negara berideologi Komunisme yang mesti anti-Liberalisme. Begitu juga di pihak negara yang pro-Liberalisme, mereka akan bersikap anti-Komunisme. Yang perjuangkan Komunisme, adalah Komunis. Yang perjuangkan Liberalisme pula adalah Liberal. Jadi, tiada Liberalis Komunis.

Kelakar. Malu kokram. Sekian.

Masalah kedua, penulis silap fakta bahawa gerakan Komunis China lah yang menjatuhkan sistem beraja. Sedangkan Monarki China terakhir, Dinasti Qing dijatuhkan gerakan Tongmenghui yang asalnya gabungan kongsi-kongsi gelap sebelum menjadi sebuah gerakan politik yang melancarkan Revolusi Xinhai (1911 Revolution & Second Revolution), lalu membentuk sebuah republik pada tahun 1912.

Tokoh besar revolusi ini adalah Sun Yat Sen yang berideologi Nasionalis, bukan Komunis. Parti politik yang menerima laba pemerintahan adalah Kuomintang, bukan Parti Komunis. Komunis belum popular pada waktu itu di China. Hanya selepas 9 tahun kejatuhan sistem beraja di China, barulah Parti Komunis China muncul.

Komunisme popular di China apabila orang Rusia berjaya melakukan Revolusi Bolshevik 1917 dan mendirikan Kesatuan Soviet Rusia. Ya, itu pun selepas 5 tahun Dinasti Qing ditumbangkan di China. Soviet Rusia menghantar agen bernama Voitinsky ke China pada tahun 1920 untuk membantu gerakan-gerakan kecil Komunis supaya menjadi sebuah gerakan yang solid. Dengan bantuan agen Soviet, Parti Komunis China terbentuk pada tahun 1921.

Komunis hanya benar-benar popular pada 1940-an apabila Mao Zedong memimpin “Long March” dan memberontak ke atas kerajaan Kuomintang pula. Perang saudara meletus, Parti Komunis menang. Kuomintang pula lari ke Taiwan (Republic of China) dan bertahan di situ.

Jadi, susah nak hubungkan logik penulis “Komunis menghapuskan sistem beraja di China”. Tak logik. Macam 1 + 1 jadi 4. Tepuk dahi. Seharusnya adalah “Nasionalis Kuomintang menghapuskan sistem beraja”.

Penulis sepatutnya beri contoh Revolusi Bolshevik di Rusia dengan ideologi Komunis cabang Leninisme yang berjaya menjatuhkan sistem beraja Tzar pada tahun 1917. Itu pun bukan semua Komunis yang terlibat, kerana Komunis kelompok Menshevik bersikap kontra dengan Bolshevik.

Dalam masa yang sama, jelaskan kepada pembaca bahawa kedua-dua kelompok ini memang mempunyai visi penghapusan sistem beraja dan kelas kapitalis untuk mencapai masyarakat tanpa kelas. Bagi detail sikit, barulah seronok baca sejarah.

Masalah ketiga, penulis tiba-tiba melompat tentang insiden Tiananment 1989. Entah dari sudut mana ada hubung kait kejatuhan sistem beraja yang silap fakta tadi dengan protester Tiananment vs. Kerajaan Komunis China pula.

Untuk makluman, aksi protes ini bermula dengan mengangkat isu kecurigaan kematian bekas Sekretaris Jeneral Parti Komunis sendiri, Hu Yaobang. Dia ini bukan nak bawa China kembali kepada monarki pun, melainkan nak reformasi negara menjadi lebih demokratik. Waktu itu adalah waktu aktif kerja-kerja saraf dan subversif Perang Dingin. Tambahan pula, negara-negara blok Komunis sedang tumbang satu per satu pada hujung 80-an. Di negara-negara Komunis, agen-agen pro-Barat buat kerja propaganda tersendiri. Adapun, isi propaganda Barat yang masyhur adalah “Demokrasi”.

Dalam konflik ini, ada kelompok protester yang desak kerajaan untuk kembali kepada “Three Principle of People”, yakni prinsip politik Sun Yat Sen yang masih ditatang oleh Kuomintang. Lebih-lebih lagi, media Barat sedang galak membuat liputan, di samping politikus Kuomintang di Taiwan menyampaikan solidariti. Bagi Komunis, ini ancaman saraf dari Barat yang perlu ditumpaskan. Jadi, Komunis bertindak membanteras protester dalam konflik ini supaya kuasa mereka tidak tergugat.

Boleh pula penulis ini tutup “Kalau tidak kerana perjuangan pembebasan pelajar yang memakan korban… China masih kekal dengan belenggu ganas dan kejam”. Habis tu, selepas ramai protester mati, Kerajaan Komunis China dah jadi budak baik?

Kesimpulannya, penulis dan Harakah tak ada kualiti. Ini baru satu perenggan. Kalau bergerak ke perenggan seterusnya dah macam merepek-repek.

Kita tahu niat penulis nak pertahankan sistem beraja tanah air. Tapi janganlah tunjuk sangat merepek itu. Tak perlu nak fitnah negara kafir, nanti mereka akan masuk neraka juga. Bagi fakta, susun logik bagi umat pandai.

Ini pasal galak nak melabel orang lah ni. Sikit-sikit nak kata orang itu Liberal, orang ini Komunis. Padahal, diri sendiri tak tahu apa benda.

Saya harap Harakah letak orang lebih profesional, lebih-lebih lagi media ini lidah rasmi PAS. Kalau lidah rasmi tunggang langgang, jadi so-called mujahid-mujahid cyber nak bergantung pada siapa?

Satu lagi cadangan saya, dalam usrah sila tambah konten Sains Politik. Nak Arab-kan jadi Sains Siyasah pun, Arabkan sajalah. Asalkan ada dibincangkan ‘Spektrum Politik’. Nanti bila ada ahli usrah nak menulis pasal ideologi politik atau dia nak label sesiapa, kurang-kurang dia faham apa benda yang dia nak tulis.

Berbeza sungguh dengan Harakah 10 tahun dulu. Takkanlah dalam berjuta ahli PAS, tiada seorang pun yang cerdik dan layak diberi posisi dalam Harakah? Dulu sejak sekolah saya kolektor Harakah tau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *